BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS

Ahad, 30 Ogos 2009

Karangan Jenis Rangsangan 3

Lihat gambar di bawah dengan teliti. Tulis pendapat anda tentang cara-cara untuk menjayakan gagasan Satu Malaysia. Panjang huraian anda hendaklah tidak melebihi 120 patah perkataan.

Sabtu, 22 Ogos 2009

Influenza A H1N1

Penularan pandemik penyakit selesema babi atau influenza A H1N1 di Malaysia kini amat membimbangkan rakyat Malaysia waima yang muda mahupun yang tua. Sehingga kini (9 September 2009), jumlah mangsa yang meninggal dunia sebagai akibat penyakit berjangkit ini kekal 73 orang. Menurut Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai, sehingga kini sejumlah 1,556 orang pesakit sedang menerima rawatan di 98 buah hospital di seluruh negara dan 44 orang daripadanya ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU). Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Mohd. Ismail Merican telah menasihati rakyat Malaysia agar sentiasa menjaga kebersihan diri baik di dalam atau di luar rumah selain memakai topeng muka sebagai langkah pencegahan awal. Tun Dr. Mahathir Mohamad, mantan Perdana Menteri Malaysia turut menasihati rakyat Malaysia agar tidak bersikap acuh tak acuh tentang penularan pandemik penyakit berjangkit selesema babi ini.



Anugerah Rabbulizzati Dikhianati

Bukit dan gunung merupakan anugerah al-Khalik kepada makhluk-Nya. Bukit dan gunung merupakan pasak bumi yang perlu dijaga dan bukannya dirosakkan apatah lagi digondolkan dengan sewenang-wenangnya. Kejadian tanah runtuh di Bukit Antarabangsa, Hulu Klang pada 6 Disember 2008, jam 4.00 pagi yang menimbuskan 14 buah banglo di Taman Bukit Mewah dan Taman Bukit Utama sebenarnya amaran Allah SWT kepada hamba-Nya agar kita tidak sekali-kali memusnahkan alam sekitar ini tanpa memikirkan impak pada masa akan datang. Bukit dan gunung digondolkan untuk tujuan pertanian, perumahan, perkilangan, atau pembinaan pejabat atau premis perniagaan. Bagaimanapun, penggondolan bukit yang tidak menitikberatkan aspek pengaliran air bawah tanah apatah lagi tujuan sebenar Allah SWT mengurniai hamba-Nya bukit dan gunung, lambat-bangat bakal mengundang marabahaya yang berpanjangan kepada manusia sekali gus kadar pemupusan spesies flora dan fauna juga meningkat.
Allah SWT berfirman dalam surah Al-Anbiya, ayat
وَجَعَلْنَا فِي الْأَرْضِ رَوَاسِيَ أَن تَمِيدَ بِهِمْ وَجَعَلْنَا فِيهَا فِجَاجًا سُبُلًا لَعَلَّهُمْ يَهْتَدُونَ (21:31

"Dan telah Kami jadikan di bumi ini gunung-gunung yang kukuh supaya bumi itu (tidak) goncang bersama mereka, dan telah Kami jadikan (pula) di bumi itu jalan-jalan yang luas, agar mereka mendapat petunjuk."


Jumaat, 21 Ogos 2009

Seminar Kebangsaan Bahasa Melayu Kontemporari 2009

Tanggal 21 Ogos 2009, Jumaat, Seminar Kebangsaan Bahasa Melayu Kontemporari 2009 telah sempurna berlangsung di Dewan Sri Rambai, Z & H Inn, Kota Bharu, Kelantan. Seminar yang bertemakan "Bahasa Melayu: Daripada Ranah Tradisional kepada Domain Globalisasi" merupakan anjuran para pelajar Sarjana Sastera Pengajian Bahasa Melayu Kontemporari Kohort 1 dan Kohort 2 Universiti Utara Malaysia (UUM) Zon Timur. Encik Mohamad Azmi bin Abdul Rahman, Penyelaras Program Sarjana Bahasa Melayu Kontemporari telah merasmikan seminar sehari ini mewakili Prof. Madya Dr. Hajah Nuraini bt. Yusoff, Pengerusi Bidang Kemanusiaan, Kolej Sastera dan Sains, Universiti Utara Malaysia, Sintok, Kedah. Seminar akademik yang bermula pada jam 8.30 pagi hingga 5.00 petang ini turut dihadiri oleh akademikus UUM, iaitu Puan Hajah Nasariah bt. Mansor, Puan Ainal Akhmar bt. Haji Ahmad, Puan Suhaila bt. Che Pa, dan Encik Nasrol Hadi bin Ahmad Shukri.
Menurut Encik Azmi, "Ilmu diburu dan diadun dalam ruang kehidupan yang bermakna ini. Ilmu di minda kita hendaklah bertambah pada setiap hari. Helaian ilmu bertambah setiap hari. Guru kita juga bertambah setiap hari. Hal ini menunjukkan bahawa ilmu kita bertambah. Namun, jika diselami makna kehidupan, dan dunia keilmuan, tiada titik noktah dan tiada kehabisan ilmu yang kita terokai. Hanya Allahlah Yang Maha Mengetahui dan Yang Maha Berkuasa memiliki semuanya. Ilmu yang kita miliki bukanlah bersifat baharu dan abadi. Tugas kita sebagai hamba-Nya memburu, mencari, menambah dan mempraktikkan apa-apa jua ilmu yang bermanfaat untuk makhluk-Nya. Dengan ilmu, kita beramal, dan amalan yang baik, kita mendapat berkat dan pahala. Akhirnya, membawa kita ke syurga." Encik Azmi juga telah menyampaikan gurindam untuk halwa telinga para peserta seminar yang bertajuk "Gurindam Kesarjanaan".

Dalam seminar kebangsaan ini, sebanyak 15 kumpulan telah membentangkan kerja kerja masing-masing. Antara mauduk kertas kerja yang dibentangkan termasuklah "Penguasaan Tanda Baca dan Ejaan Bahasa Melayu dalam Kalangan Pelajar Prauniversiti di SMK Sri Gunung", "Pengaruh Bahasa Asing dalam Bahasa Melayu", "Penggunaan Dialek dalam Pengajaran dan Pemelajaran Bahasa Melayu di Sekolah Rendah: Satu Tinjauan", dan "Pengetahuan Guru-guru Bahasa Melayu Tingkatan 4 dan 5 terhadap Aras Taksonomi Bloom: Satu Kajian Kes". Setiap kumpulan diperuntukkan masa 15 minit dalam sesi pembentangan. Beberapa orang peserta seminar turut memajukan komentar dan cadangan sebagai perkongsian minda sekali gus memberikan nilai tambah kepada khalayak seminar ilmiah ini. Kedudukan Bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi negara dalam Artikel 152 Perlembagaan Persekutuan sewajarnya diletakkan di tempat yang mulia agar bahasa ibunda ini dapat duduk sama rendah dan berdiri sama tinggi dengan bangsa di negara maju lain di seantero buana Allah SWT ini.

Tuntas bicara, Seminar Kebangsaan Bahasa Melayu Kontemporari 2009 telah berjaya mengeratkan ukhuwah Islamiah antara pelajar Sarjana Bahasa Melayu Kohort 1, Sarjana Bahasa Melayu Kohort 2, dan pensyarah UUM sekali gus mengabsahkan objektif seminar yang julung-julung kali diadakan ini. Sesungguhnya, sinergi nan mapan via seminar kesarjanaan sebegini perlu diteruskan dari semasa ke semasa untuk mengizharkan martabat bahasa Melayu sebagai bahasa peradaban dunia pada milenium ini.




Khamis, 20 Ogos 2009

Lagu Tema Hari Kemerdekaan Malaysia ke-52

1 MALAYSIA:

RAKYAT DIDAHULUKAN, PENCAPAIAN DIUTAMAKAN

video

Eufemisme

Menurut Kamus Dewan edisi keempat, eufemisme merujuki maksud ungkapan yang lebih lembut (sopan, manis) untuk menggantikan ungkapan yang dianggap kasar. Sebagai tamsilnya:
1. buang air kecil untuk kencing
2. buang air besar untuk berak
3. suami untuk laki
4. isteri untuk bini

Rabu, 19 Ogos 2009

Pantun Melayu Klasik

Filem Seri Mersing (1961) arahan Allahyarham Salleh Ghani merupakan filem Melayu Klasik yang masih diminati ramai walaupun watak protagonisnya, Nordin Ahmad telah lama meninggalkan peminatnya. Nordin Ahmad merupakan pelakon filem Melayu terulung. Beliau dilahirkan di Butterworth, Pulau Pinang pada tahun 1932. Lakonan hebat beliau adalah seperti dalam filem Seri Mersing, Semerah Padi, Air Mata Duyong dan Gurindam Jiwa. Selain itu, beliau juga dikenang dengan lakonan agresif seperti dalam filem Hang Jebat, Cucu Datuk Merah dan Raden Mas. Allahyarham Nordin Ahmad telah kembali ke rahmatullah pada 15 Jun 1971 di Singapura. Yang berikut ialah ungkapan peribahasa dan pantun oleh Damak (Nordin Ahmad) lewat filem Seri Mersing:
Peribahasa:
'hujan emas di negeri orang, hujan batu di negeri saya, ada terlebih baik di negeri saya'
Pantun:
Kajang Pak Malau kajang berlipat,
Kajang saya mengkuang layu;
Dagang Pak Malau dagang bertempat,
Dagang saya musafir lalu.

video

Pembelajaran Kreatif Komsas via Seloka Pak Kaduk








Seloka Pak Kaduk

Aduhai malang Pak Kaduk
Ayamnya menang kampung tergadai
Ada nasi dicurahkan
Awak pulang kebuluran
Mudik menongkah surut
Hilir menongkah pasang;
Ada isteri dibunuh
Nyaris mati oleh tak makan
Masa belayar kematian angin
Sauh dilabuh bayu berpuput
Ada rumah bertandang duduk.
[Aduhai malang Pak Kaduk]

Puisi Melayu Tradisional, 1997
Dewan Bahasa dan Pustaka
Antologi Anak Laut [halaman 9]
Peribahasa: 'mudik menongkah surut, hilir menongkah pasang'


video

Rujukan Kehormat

Yang berikut ialah ejaan rujukan kehormat yang betul, iaitu:

1. Yang di-Pertuan Agong
2. Yang di-Pertuan Negeri
3. Yang di-Pertuan Besar
4. Yang di-Pertua Dewan Negara
5. Yang di-Pertua Dewan Rakyat
6. Yang di-Pertua Dewan Undangan Negeri
7. Yang Dipertua PIBG
8. Yang Dipertua MPKB-BRI
9. Yang Dipertua Persatuan Linguitik Malaysia
10. Yang Dipertua Dewan Perniagaan Melayu Malaysia

Karangan Rangsangan Contoh 2

Lihat gambar di bawah dengan teliti.

Huraikan pendapat anda tentang punca-punca berlakunya kemalangan maut di jalan raya. Panjang huraian anda hendaklah tidak melebihi 120 patah perkataan.
[20 markah]

Akhir-akhir ini, isu kemalangan maut di jalan raya semakin membimbangkan masyarakat tempatan. Terdapat banyak punca yang menyebabkan perkara ini berlaku.

Antara punca kemalangan maut termasuklah sikap sesetengah pemandu tegar yang suka melanggar lampu isyarat. Ketidakpatuhan mereka ini menyebabkan kadar kemalangan maut kian meningkat.

Selanjutnya, ada pemandu yang menggunakan telefon bimbit atau mabuk ketika memandu kenderaan. Hal ini menyebabkan mereka kehilangan tumpuan sekali gus membahayakan pengguna jalan raya yang lain.

Seterusnya, keadaan jalan raya yang tidak sempurna turut mengundang kemalangan maut. Sebagai tamsilnya, keadaan jalan raya yang sempit atau licin boleh membawa kecelakaan kepada pemandu yang tidak berwaspada di jalan raya.

Kesimpulannya, semua pengguna jalan raya seyogianya mematuhi peraturan lalu lintas kerana pemanduan yang berhemah boleh mengurangkan kadar kemalangan maut di Malaysia.

[121 patah perkataan]

Selasa, 18 Ogos 2009

Kata Majmuk yang Mantap

Terdapat sebilangan kecil bentuk kata majmuk yang penggunaannya sudah dianggap mantap sebagai satu perkataan yang utuh, walaupun bentuk kata tersebut ternyata mengandungi dua kata dasar. Perkataan yang demikian tetap dieja bercantum sebagai satu perkataan. Bentuk-bentuk kata tersebut ialah:
1. antarabangsa
2. beritahu
3. bumiputera
4. jawatankuasa
5. kakitangan
6. kerjasama
7. olahraga
8. matahari
9. setiausaha
10. sukarela
11. suruhanjaya
12. tandatangan
13. tanggungjawab
14. warganegara
15. pesuruhjaya

Ringkasan Contoh

Tulis ringkasan tentang langkah-langkah untuk membendung jenayah. [20 markah]

Antara langkah untuk membendung jenayah termasuklah kita bersama-sama mengawal keselamatan kawasan perumahan kita. Kita perlu mengenali tetangga dengan lebih erat untuk menyenangkan kita meminta pertolongan. Selain itu, kita hendaklah sentiasa berwaspada dengan orang yang tidak dikenali. Pejalan kaki mestilah menghindarkan diri daripada melalui kawasan yang sepi. Seterusnya, masyarakat perlu peka apabila terdengar jeritan orang menghendaki bantuan. Pihak polis hendaklah melakukan rondaan dengan lebih kerap di taman perumahan. Selanjutnya, penduduk bersepakat dengan menyertai Rukun Tetangga dan bertugas mengawasi taman perumahan pada waktu malam.
[81 patah perkataan]

Nota:
Semua kosa kata yang dihitamkan dalam ringkasan contoh di atas merupakan kosa kata baharu yang sinonim dengan perkataan asal, iaitu:
1. mengawal = menjaga
2. tetangga = jiran
3. erat = rapat
4. menyenangkan = memudahkan
5. berwaspada = berhati-hati
6. menghindarkan = mengelakkan
7. sepi = sunyi
8. peka = prihatin
9. menghendaki = meminta
10. bantuan = pertolongan
11. melakukan = membuat
12. mengawasi = mengawal

Panduan penulisan ringkasan cemerlang:
1.Semua pelajar mesti mematuhi arahan soalan, iaitu “Anda digalakkan menggunakan ayat sendiri tanpa mengubah maksud asal petikan”
2. Semua pelajar dinasihati dan diingatkan agar tidak menyalin mana-mana perenggan atau petikan secara keseluruhan.
3. Gunakan penanda wacana yang sesuai.
4. Tulis ringkasan dalam satu perenggan sahaja.
5. Pelajar, sebaik-baiknya, dalam setiap ayat perlu menukarkan perkataan asal dengan perkataan baharu yang sinonim dengan perkataan asal dalam petikan.
6. Pelajar perlu akur dengan jumlah perkataan yang telah ditetapkan, iaitu tidak melebihi 80 patah perkataan.

Isnin, 17 Ogos 2009

Ungkapan Mantik

Ungkapan Bahasa Melambangkan Bangsa, Bahasa Jiwa Bangsa dan Cintailah Bahasa Kebangsaan Kita perlu disematkan dalam minda masyarakat Malaysia walau di mana-mana sahaja mereka berada. Pepatah Melayu, 'di mana bumi dipijak, di situlah langit dijunjung' sewajarnya disemai oleh ibu bapa kepada anak-anak sejak kecil demi merekayasa bahasa Melayu sebagai bahasa peradaban dunia sekali gus sebagai bahasa ilmu yang mampu melonjakkan maruah bangsa Melayu di peringkat global. Ungkapan mantik yang amat dominan ini seyogianya diucapkan setiap rakyat Malaysia saban waktu demi mengabsahkannya dalam kalangan masyarakat Malaysia yang hidup bersatu padu sejak negara mencapai kemerdekaan pada 31 Ogos 1957. Yang membanggakan pencinta bahasa pabila Allahyarham Tan Sri P.Ramlee telah pun menzahirkan ungkapan Bahasa Menunjukkan Bangsa lewat filem Seniman Bujang Lapok (1961) arahan beliau bersama S Sudarmaji. Filem-filem arahan dan lakonan Allahyarham Tan Sri P. Ramlee sememangnya sarat dengan nilai kemanusiaan dan kesejagatan sekali gus mendidik khalayak penonton filem tempatan menjadi insan yang bersahsiah mulia.

video

Bunyi-bunyi Fauna

1. Kera - mengerih, bergericau
2. Burung puyuh - berdengut
3. Katak - berdengkang, menguak
4. Anjing (kena pukul) - berdengking, berdengkung
5. Kuda - meringkik
6. Kumbang - berdengung
7. Lembu - mengeboh, melenguh, berdengus (hembusan nafas)
8. Kerbau - menguak, berdengus (hembusan nafas)
9. Rusa - melenguh
10. Burung - berdecip, bersiul, mencicip, mencicit, ciok, ciak, bercip-cip
11. Anak ayam, anak burung, - berdecit, menciap
12. Anjing menyalak - auk (Id)
13. Harimau, singa - mengaum
14. Lebah - berdenging, berdengung
15. Ayam jantan - berkokok
16. Kucing - mengiau, mengeong
17. Ayam betina - berketuk, berkeriuk
18. Arnab, - mengerit, mengerumit, mengunggis (menggigit berdikit-dikit)
19. Ular - bersiul, mendesit
20. Lebah terbang - bersiung
21. Tikus - berdecit, mengerit, mengerumit, mengunggis (menggigit berdikit-dikit)
22. Kambing - mengembek
23. Burung tukang - berdekang (mencatuk kayu atau zink)
24. Burung punai, tekukur - berdekut
25. Itik - berkuek

Ahad, 16 Ogos 2009

Kosa Kata Indah 1

Penulisan karangan yang cemerlang memerlukan seseorang pelajar menggunakan kosa kata luas. Dalam hal ini, para pelajar seyogianya membaca perbagai bahan bacaan yang bermutu waima akhbar, majalah, ensiklopedia, atau novel untuk menambah koleksi kosa kata indah dalam buku catatan peribadi. Antara kosa kata indah yang perlu diketahui dan didominasi oleh para pelajar termasuklah:
1. marabahaya
2. inkues
3. membumbui
4. bungkam
5. iltizam
6. ironi
7. ampuh
8. pandemik
9. memodifikasi
10. memomokkan
11. bergulat
12. berantakan
13. bertendensi
14. modus operandi
15. bercempera
16. kemaslahatan
17. stigma
18. strata
19. stimulus
20. luwes
21. skeptikal
22. kerancuan
23. rengsa
24. relevan
25. provokasi
26. asimilasi
27. mencabik-cabikkan
28. kolaboratif
29. sinergi
30. kekhilafan

Karangan Rangsangan Contoh 1

Soalan Bahasa Melayu Kertas 2
Peperiksaan Percubaan PMR 2009

Lihat gambar di bawah dengan teliti.

Huraikan pendapat anda tentang kelebihan dan kekurangan tinggal di kampung. Panjang huraian anda hendaklah tidak lebih daripada 120 patah perkataan.
[20 markah]

Setiap insan menginginkan tempat tinggal yang selesa baik di kampung mahupun kota. Terdapat banyak kelebihan tinggal di kampung.

Antara kelebihan tinggal di kampung termasuklah suasana pagi di kampung begitu tenang berbanding dengan kehidupan di kota. Suasana kehidupan yang mendamaikan jiwa boleh mengurangkan tekanan masyarakat desa untuk menjalankan urusan seharian.

Selain itu, masyarakat kampung sentiasa mengamalkan kehidupan gotong-royong dalam komuniti mereka. Sebagai tamsilnya, mereka bekerjasama menjayakan majlis perkahwinan dan membersihkan tanah perkuburan.

Selanjutnya, antara kekurangan tinggal di kampung termasuklah kurangnya prasarana dan peluang pekerjaan untuk masyarakat desa. Sebagai contohnya, ketiadaan kemudahan kafe siber menyebabkan belia desa buta teknologi maklumat sekali gus mendorong mereka berhijrah ke kota.

Kesimpulannya, masyarakat kampung masih mengekalkan semangat bagai aur dengan tebing selain melestarikan sikap kesepaduan antara satu sama lain.

[123 patah perkataan]

Perihal Kata 'Teguh'

Menurut Kamus Dewan edisi keempat, perkataan teguh berkonotasi:

1. tidak mudah terbongkar atau roboh, kukuh (buatannya), kuat, erat (ikatannya)
2. kuat (tali persaudaraan, persahabatan), rapat
3. tidak merosot (ekonomi), kuat
4. tidak berubah (iman, hati, pendirian, kesetiaan), tetap

Ayat-ayat Contoh:
1. Kain yang baru dibeli oleh Puan Hasnah teguh, tahan lama, ringan, dan senang dicuci.
2. Menara Kuala Lumpur di Jalan Punchak amat teguh binaannya.
3. Hubungan persahabatan antara Puan Jamilah dengan Puan Mei Ling terjalin teguh sejak mereka di bangku sekolah lagi.
4. Kedudukan ekonomi Malaysia teguh biarpun situasi ekonomi global tidak konsisten.
5. Pelatih PLKN diajar agar mempunyai ketahanan fizikal dan mental yang teguh untuk mendepani pancaroba kehidupan pada alaf globalisasi ini.

Sabtu, 15 Ogos 2009

Kesalahan Papan Tanda Awam


Sebagai pencinta bahasa nan mapan, kita seyogianya meladeni kesalahan bahasa yang tertera pada papan tanda awam ini. Kesalahan bahasa tidak sepatutnya berlaku seandainya pihak berkuasa tempatan sentiasa merujuki pegawai bahasa di Dewan Bahasa dan Pustaka atau guru-guru yang mengajarkan Bahasa Melayu dari aspek pengejaan yang betul. Sikap acuh tak acuh tentang penggunaan bahasa yang betul sewajarnya dibuang daripada minda 'lapuk' sebilangan masyarakat Malaysia kerana Bahasa Jiwa Bangsa tekal relevan pada milenium ini.

Soalan Karangan Rangsangan



Akhir-akhir ini, aksi samseng jalanan kian leluasa baik di kampung mahupun di kota metropolitan. Tulis pendapat anda tentang kesan-kesan aktiviti samseng jalanan. Panjang karangan anda hendaklah tidak melebihi 120 patah perkataan. [20 markah]
Panduan penulisan karangan:
1. Perenggan pendahuluan: 2 ayat
2. Perenggan isi 1: 3 ayat
3. Perenggan isi 2: 3 ayat
4. Perenggan isi 3: 3 ayat
5. Kesimpulan: 2 ayat
Nota: Gunakan bahasa yang mudah tetapi gramatis berserta ungkapan menarik.

Karangan PMR 2009


Isu-isu semasa:
1. Telefon bimbit
2. Amalan membaca
3. Pembakaran terbuka
4. Penyakit berbahaya
5. Remaja masa ini
6. Keluarga bahagia
7. Permainan tradisional
8. Perpaduan kaum
9. Pencemaran alam sekitar
10. Tempat-tempat menarik di Malaysia
11. Bencana alam
12. Pengangkutan awam
13. Kokurikulum
14. Kehidupan di desa / di kota
15. Komputer
Panduan penulisan karangan cemerlang:-
1. Penulisan karangan bahagian C seharusnya merangkumi perkara yang berikut:
a. Perenggan pendahuluan [isu / gambaran semasa]
b. Perenggan isi [isi + huraian + contoh + penegas]
c. Perenggan kesimpulan [cadangan + harapan + ungkapan]
2. Panjang karangan hendaklah melebihi 180 patah perkataan.
3. Setiap calon perlu menitikberatkan aspek ejaan, bahasa, pemerengganan, dan tulisan.
4. Karangan yang cemerlang sebaik-baiknya mengandungi bahasa, ayat, atau frasa yang menarik seperti:
a. kebejatan sosial
b. menangani
c. kemaslahatan
d. seyogianya
e. prakarsa
f. mewara-wara
g. kolektif
h. signifikan
i. komprehensif
j. siap siaga
k. kemelut
l. mandala
m. ranah
n. menangkis ledakan globalisasi
o. unsur-unsur pidana
p. melestarikan
q. mengabsahkan
r. mengizharkan
s. merekayasa
t. ruwet
u. pascamerdeka
v. kejelikan
w. mauduk
x. kontradiksi
y. sinergi
z. bersekongkol

1 Malaysia


Ungkapan 1 Malaysia 'geger' kedengaran di seluruh pelosok bumi Malaysia. Ada yang berbicara dan berhujah tentang 1 Malaysia baik peniaga, petani, guru, pelajar, pekerja swasta, mahupun akademikus walaupun pada zahirnya tampak kurang jelas. Persoalannya, apakah 1 Malaysia yang diwara-wara oleh Perdana Menteri Malaysia keenam pada 3 April 2009 ini satu slogan, konsep, atau gagasan? Menurut Dato' Seri Mohd. Najib Tun Abdul Razak, beliau mengakui bahawa gagasan 1 Malaysia mungkin jenama baharu tetapi terangkum matlamat dan gabungan gagasan terdahulu sejak Tunku Abdul Rahman Putra al-Haj. Pada pandangan saya, 1 Malaysia ialah satu gagasan yang membawa slogan mengisi konsep kesatuan Malaysia dan perpaduan bangsanya. Gagasan 1 Malaysia memerlukan pendekatan pembudayaan dan pemasyarakatannya secara holistik dengan pelbagai cara. Dengan kata lain, isu ini berkaitan dengan pemikiran dan nilai-nilai kebudayaan. Untuk memahaminya, setiap bangsa Malaysia perlu menelusurinya secara abstrak dan tersirat. Hal ini demikian kerana mereka perlu memahami politik kenegaraan, lebih-lebih lagi penghayatan sejarah Malaysia yang panjang itu yang membentuk geopolitik dan sifat demografinya. Hakikatnya, gagasan 1 Malaysia masih belum bercambar subur dalam sanubari masyarakat Malaysia dan yang perlu diingatkan bahawa gagasan ini bukan suatu bentuk 'Malaysian Malaysia'.

Jumaat, 14 Ogos 2009

Tinta Kasih buat Puan Maizatul Azura

Hari ini, 14 Ogos 2009 (Jumaat) merupakan kelas terakhir kursus SCLM 5033 Teknologi Maklumat dalam Pendidikan Bahasa oleh Puan Maizatul Azura binti Yahya dari Jabatan Siswazah, Universiti Utara Malaysia, Sintok, Kedah. Puan Maizatul Azura merupakan pensyarah yang begitu prihatin dan mengambil berat tentang tugasan dan sebarang masalah yang dihadapi oleh pelajar prasarjana kursus Bahasa Melayu Kontemporari kohort 1. Para pelajar prasarjana begitu seronok mempelajari subjek SCLM 5033 yang memerlukan setiap pelajar mengetahui keberkesanan penggunaan teknologi maklumat dalam proses pengajaran dan pemelajaran di dalam kelas. Antara topik penting yang dipelajari termasuklah Pengenalan Komputer dan Teknologi Maklumat, Aplikasi Komputer dalam Pendidikan, Multimedia dalam Pendidikan, Penyepaduan Kurikulum: Membaca dan Seni Bahasa, Teori dan Konsep P&P BM Berasaskan TM, Isu Pengkomputeran Pendidikan, dan Peranan Internet dalam Pendidikan Bahasa. Selain itu, para pelajar prasarjana juga berkesempatan untuk mempelajari cara-cara pembinaan powerpoint dan blog di samping setiap kumpulan membentangkan hasil tugasan ilmiah yang diamanahkan. Kami, para pelajar prasarjana kohort 1 menzahirkan ucapan terima kasih yang setinggi-tingginya buat Puan Maizatul Azura yang telah membimbing kami selama ini.
Padi di tanjung masih berbunga,
Kapal terikat tepi tambatan;
Budi dijunjung kasih menjelma,
Kekal terpahat menjadi ingatan.

Menelusuri Imej Alam: Anugerah Yang Maha Esa


Tempurung kelapa asalnya ia

direka digubah pelbagai guna

dalam kehidupan sentiasalah ia ada

lambang kehalusan nilai cipta seni bangsa

menghargai kurnia alam semesta semestinya.


Batok namanya dipanggil biasa

bertangkai bertam agar mudah memegangnya

di kaki tangga duduknya sentiasa tersedia

bersekali tempayan tanah sesuai jodohnya

mencedok air membersih kaki sebelum

menginjak tangga.


Lalu dikarang orang akan ungkapan kata

seperti melepaskan batok di tangga

fahami maksud akan erti agar dapat diduga

agar tidak termengung membuat kerja segala

Gopoh-gapah menurut kata khilaf menjangka

membawa mudarat serta celaka kepada semua.

[A. Ghafar Haji Abdullah]

Kata Adverba

Kata adverba ialah perkataan yang menerangkan kata kerja, kata adjektif, kata anama, dan frasa sendi nama dari segi cara, masa, dan tempat. Sebagai tamsilnya, perhatikan ayat-ayat contoh yang berikut:
1. Cikgu Mohd. Nawi selalu mentakwilkan perkara itu kepada muridnya.
2. Datuk Nicol Ann David cergas sentiasa.
3. Hari ulang tahun perkahwinan Encik Mohan ialah hari esok.
4. Puan Mei Ling sering kali ke Pulau Langkawi atas urusan perniagaan.

Dalam ayat 1 hingga 4 di atas, perkataan selalu, sentiasa, esok, dan sering kali ialah kata adverba. Hal ini demikian kerana masing-masing berfungsi untuk menerangkan kata kerja mentakwilkan, kata adjektif cergas, kata nama hari, dan frasa sendi nama ke Pulau Langkawi.

Dengan berdasarkan ayat contoh di atas, kata adverba dapat hadir di hadapan dan juga di belakang frasa. Tegasnya:

1. Dalam ayat 1, kata adverba selalu hadir di hadapan kata kerja mentakwilkan.

2. Dalam ayat 2, kata adverba sentiasa hadir di belakang frasa kata adjektif cergas.

3. Dalam ayat 3, kata adverba esok hadir sesudah kata nama hari.

4. Dalam ayat 4, kata adverba sering kali hadir di hadapan frasa sendi nama ke Pulau Langkawi.



















Ranah Pemartabatan Tatabahasa BM via Maya

Ucapan terima kasih dizahirkan buat Cikgu Mohd. Isa bin Abd. Razak yang telah membaca dan menulis makalah saya semula untuk dikongsi dengan pembaca setia blog beliau. Yang berikut ialah paparan bahan makalah saya yang diambil daripada blog beliau.

"Dalam Bonus Dewan Siswa keluaran Julai 2008 terdapat makalah yang bertajuk “Analisis Kesalahan Ayat (Siri 1)”. Makalah itu ditulis oleh Cikgu Nik Nor Ahmarizam Nik Ahmad dan ditujukan kepada calon Peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR). Calon PMR dan pengguna bahasa Melayu masih dapat memanfaatkan kandungan makalah itu.
Dalam makalah itu, Cikgu Nik Nor Ahmarizam menyenaraikan 20 ayat yang salah. Setiap ayat yang salah itu diikuti dengan sebab kesalahan dan ayat yang betul. Empat contohnya adalah seperti yang di bawah. Saya mengemukakan ulasan ringkas bagi dua contoh.
Contoh 1
Ayat yang Salah
Gaya bahasa pantun sudah ditinjau dari pelbagai sudut oleh pengkaji kesusasteraan.
Sebab Kesalahan
Kesalahan penggunaan kata sendi nama dari.
Ayat yang Betul
Gaya bahasa pantun sudah ditinjau daripada pelbagai sudut oleh pengkaji kesusasteraan.
Ulasan
(a) Ini ialah ayat contoh dalam buku Tatabahasa Dewan Edisi Keempat (halaman 268):
Mereka memulakan kerja pembersihan dari sudut kanan dewan itu.
(bukan: Mereka memulakan kerja pembersihan *daripada sudut kanan dewan itu.)
Perbincangan tentang perkara ini ada di sini. Kita masih boleh membincangkan lagi perkara ini. (b) Ada pendapat mengatakan frasa dari pelbagai sudut kurang tepat. Frasa yang tepat ialah frasa dari sudut yang pelbagai.
Contoh 2
Ayat yang Salah
Hal ini kerana seseorang pemimpin mestilah dapat mengutarakan idea yang bernas untuk meyakinkan orang ramai.
Sebab Kesalahan
Ayat huraian ini tidak gramatis kerana tidak ada predikat.
Ayat yang Betul
Hal ini demikian kerana seseorang pemimpin mestilah dapat mengutarakan idea yang bernas untuk meyakinkan orang ramai.
Ulasan
(a) Kita wajar memikirkan sebab ayat ini dikatakan “salah”.
(b) Sudah ada pendapat yang mengatakan ungkapan “hal ini demikian kerana” silap.
Ungkapan yang dikatakan betul ialah “hal ini dikatakan (berlaku, terjadi) demikian kerana”
Klik di sini atau di sini. Namun beberapa pihak yang berwibawa masih menggunakan ungkapan ini. Klik di sini.
Contoh 3
Ayat yang Salah
Didoakan semoga anda berjaya dengan cemerlang.
Sebab KesalahanAyat ini tidak gramatis kerana tidak ada subjek dan predikat.
Ayat yang Betul
Didoakan kejayaan yang cemerlang untuk anda.
UlasanSila catatkan ulasan tuan dalam ruangan ulasan.
Contoh 4
Ayat yang Salah
Kakak Liyana membantu emak menanak nasi.
Sebab Kesalahan
Ayat ini tidak gramatis kerana tidak disisipkan kata hubung pancangan komplemen untuk sebagai unsur keterangannya.
Ayat yang Betul
Kakak Liyana membantu emak untuk menanak nasi.
Ulasan
Sila catatkan ulasan tuan dalam ruangan ulasan.
Senarai yang di bawah ini pula ialah sedutan daripada makalah itu.
Saya hanya menyedut frasa yang salah dan diikuti dengan frasa yang betul.
1. di atas sebab → atas sebab
2. koleksi kamus-kamus → koleksi kamus
3. mengingatkan kita terhadap kepentingan masa → mengingatkan kita tentang kepentingan masa
4. di dalam aktiviti → dalam aktiviti
5. membincangkan tentang → membincangkan
6. terlalu baik sekali → terlalu baik atau baik sekali
7. daun-daun kering berguguran → daun kering berguguran
8. ada pelajar-pelajar sekolah → ada pelajar sekolah
9. Hakimin dihadiahkan beberapa naskhah majalah → Hakimin dihadiahi beberapa naskhah majalah
10. Puan Hazama bertemu Puan Rajini → Puan Hazama bertemu dengan Puan Hazimi
Dipetik daripada :SAMBUNG-MENYAMBUNG ﺴﺎﺒڠ۔ﻤﭙﺎﻤﺒMohd Isa bin Abd Razak ... "Pancarkan Akhlak Mulia dalam Penulisan Kita"

Peribahasa: 'seperti melepaskan 'batuk' atau 'batok' di tangga?'


Masyarakat Melayu sering mengungkapkan peribahasa 'seperti melepaskan batuk di tangga' yang berkonotasi melakukan sesuatu pekerjaan dengan tidak bersungguh-sungguh waima secara langsung atau tidak langsung. Peribahasa Melayu ini amat dominan dan diungkapkan oleh para ibu bapa atau guru-guru untuk menyindir anak-anak pascamerdeka kini yang kadangkala membuat kerja yang diamanahkan kepada mereka dengan tidak serius atau main-main atau dengan kata lain bersikap acuh tak acuh. Seperkara yang perlu kita sedari ialah perkataan 'batuk' yang diungkapkan itu adalah tidak betul. Hal ini demikian kerana peribahasa ini sebenarnya perlu diungkapkan 'melepaskan batok di tangga'. Menurut Prof. Dr. Noriah Mohamed, perkataan 'batok' berasal daripada bahasa Jawa yang bermaksud tempurung. Masyarakat Melayu lama menggunakan batok untuk membasuh kaki pabila pulang dari kebun atau sawah. Kemudian, batok itu disangkut mereka dengan baik untuk mengelakkan batok itu pecah. Menurut hukum Pola Keselarasan Vokal, ejaan kosa kata 'batok' yang menggabungkan huruf 'a - o' perlu dikekalkan kerana perkataan ini merupakan perkataan pinjaman daripada bahasa Jawa. Antara perkataan pinjaman lain yang tergolong dalam hukum ini termasuklah perkataan 'calon' dan 'perabot'. Generasi muda kini perlu mengetahui perkara ini sebagai satu perkongsian ilmu walaupun minda mereka sekian lama menyimpan memori bahawa peribahasa 'melepaskan batuk di tangga' adalah betul.

Seminar Kebangsaan Kekuasaan dalam Sastera Melayu Nusantara


Pada 25 hingga 26 Julai 2009, Seminar Kebangsaan Kekuasaan dalam Sastera Melayu Nusantara telah berlangsung dengan jayanya di Dewan Kuliah A, Universiti Sains Malaysia, Pulau Pinang. Seminar yang bertemakan ''Konsep Kuasa dalam Teks Sastera Sejarah" merupakan anjuran Bahagian Kesusasteraan Tradisional, DBP Kuala Lumpur dengan kerjasama Bahagian Kesusasteraan, Pusat Pengajian Ilmu Kemanusiaan, USM Pulau Pinang dan DBP Wilayah Utara, Pulau Pinang. Seminar ini berjaya menggamit peminat bahasa dan sastera Melayu dari dalam dan luar negara baik pelajar, pensyarah, guru mahupun pencinta budaya. Antara tokoh akademikus tersohor yang membentangkan kertas kerja dalam wacana ilmu sepanjang dua hari itu termasuklah Prof. Datuk Dr. Zainal Kling, Prof. Datuk Dr. Hajah Ramlah Adam, Sasterawan Negara Prof. Dr. Muhammad Hj. Salleh, Prof. Dr. Noriah Mohamed, dan Dr. Jelani Harun. Menurut Puan Hajah Izzah Abdul Aziz, Pengarah Jabatan Sastera, DBP Kuala Lumpur, "Teks sastera sejarah sebagai sebahagian daripada karya agung Melayu perlu dikaji supaya segala pemikiran dan ilmu yang terkandung di dalamnya dapat dimanfaatkan. Pertemuan para penyelidik dan pengkaji sastera, sejarah dan budaya dalam seminar yang amat signifikan ini diharapkan dapat merealisasikan cita-cita kita untuk bersama-sama menggali dan mencungkil satu lagi dimensi dalam teks sastera, iaitu nilai kuasa yang menjadi tonggak pemerintah kerajaan-kerajaan Melayu di Nusantara sebelum kedatangan penjajah".

Pasukan Bahas BM SMKDAM Wakil Kelantan


Pasukan Bahas Bahasa Melayu Ala Parlimen SMK Dato' Ahmad Maher telah mewakili negeri Cik Siti Wan Kembang ke Pertandingan Bahas Bahasa Melayu Ala Parlimen Peringkat Kebangsaan 2009. Pasukan SMKDAM telah berjaya menewaskan pasukan SMKA Lati, Pasir Mas pada Peringkat Negeri Kelantan yang diadakan di SMK Belimbing, Tanah Merah, Kelantan. Pada tahun ini, pertandingan akhir telah berlangsung dengan jayanya di Sweet Beach Resort, Pasir Puteh, Kelantan dari 12 hingga 16 Julai 2009. Sebanyak 16 pasukan telah berkampung di sini dengan ditemani guru pengiring masing-masing. Setiap peserta bahas telah mempamerkan kematangan berhujah waima sebagai pihak kerajaan atau pihak pembangkang untuk meyakini barisan hakim yang adil lagi bijaksana. Pasukan bahas SMK Dato' Ahmad Maher telah diwakili oleh Nur Syahira bt. Ashaari, Elli Liliana Aishah bt. Mohd. Zahini, Nurul Ainaa bt. Mazlan, Nur Amirah bt. Zainuddin, dan Mohd. Bahrul Ridhuan b. Mohd. Baharudin.

Kursus Orientasi Guru Cemerlang Zon Timur


Tanggal 9 hingga 13 Ogos 2009 (Ahad hingga Khamis), seramai 50 orang Guru Cemerlang [GC]dari negeri Kelantan, Terengganu, dan Pahang telah berkampung di Bukit Keluang Beach Resort, Besut, Terengganu untuk merealisasikan Kursus Orientasi Guru Cemerlang Zon Timur Siri 1/2009. Kursus ini merupakan anjuran Bahagian Pendidikan Guru dan Jemaah Nazir Jaminan Kualiti [JNJK]. Kursus ini dibahagikan kepada dua bahagian, iaitu 'indoor' dan 'outdoor' dengan dibantu oleh para fasilitator dari Institut Perguruan Guru Malaysia Tengku Ampuan Afzan, Kuala Lipis, Pahang. Para GC telah dibahagikan kepada enam kumpulan, iaitu setiap kumpulan mempunyai lapan orang ahli. Dalam aktiviti 'indoor', para peserta kursus diwajibkan mengikuti slot-slot ceramah seperti Peranan dan Tanggungjawab GC, Kepimpinan Instruksional, Personaliti Unggul, Pelan Taktikal dan Operasional, Pena GC, Citra GC, Cabaran GC, dan Resolusi. Antara aktiviti 'outdoor' pula termasuklah 'water confident', 'absailing', Eksplorasi Rimba, 'orienteering', dan Ekspedisi Samudera. Pengalaman yang amat berharga ini, sesungguhnya, menguji kesabaran, kekuatan fizikal dan mental, ketinggian sahsiah, dan iltizam GC selain memberikan nilai tambah dalam prakarsa murni GC untuk meningkatkan prestasi akademik murid waima di sekolah rendah atau menengah. Kursus ini telah berjaya mengeratkan hubungan antara GC Zon Timur demi mengangkat martabat pendidikan negara setanding negara maju lain di dunia ini. Para GC mempunyai tugas yang begitu besar untuk mengabsahkan keenam-enam teras PIPP negara sekali gus mengizharkan konsep 1 Malaysia.