Pada 25 hingga 26 Julai 2009, Seminar Kebangsaan Kekuasaan dalam Sastera Melayu Nusantara telah berlangsung dengan jayanya di Dewan Kuliah A, Universiti Sains Malaysia, Pulau Pinang. Seminar yang bertemakan ''Konsep Kuasa dalam Teks Sastera Sejarah" merupakan anjuran Bahagian Kesusasteraan Tradisional, DBP Kuala Lumpur dengan kerjasama Bahagian Kesusasteraan, Pusat Pengajian Ilmu Kemanusiaan, USM Pulau Pinang dan DBP Wilayah Utara, Pulau Pinang. Seminar ini berjaya menggamit peminat bahasa dan sastera Melayu dari dalam dan luar negara baik pelajar, pensyarah, guru mahupun pencinta budaya. Antara tokoh akademikus tersohor yang membentangkan kertas kerja dalam wacana ilmu sepanjang dua hari itu termasuklah Prof. Datuk Dr. Zainal Kling, Prof. Datuk Dr. Hajah Ramlah Adam, Sasterawan Negara Prof. Dr. Muhammad Hj. Salleh, Prof. Dr. Noriah Mohamed, dan Dr. Jelani Harun. Menurut Puan Hajah Izzah Abdul Aziz, Pengarah Jabatan Sastera, DBP Kuala Lumpur, "Teks sastera sejarah sebagai sebahagian daripada karya agung Melayu perlu dikaji supaya segala pemikiran dan ilmu yang terkandung di dalamnya dapat dimanfaatkan. Pertemuan para penyelidik dan pengkaji sastera, sejarah dan budaya dalam seminar yang amat signifikan ini diharapkan dapat merealisasikan cita-cita kita untuk bersama-sama menggali dan mencungkil satu lagi dimensi dalam teks sastera, iaitu nilai kuasa yang menjadi tonggak pemerintah kerajaan-kerajaan Melayu di Nusantara sebelum kedatangan penjajah".
Jumaat, 14 Ogos 2009
Seminar Kebangsaan Kekuasaan dalam Sastera Melayu Nusantara
Dicatat oleh Nik Nor Ahmarizam Nik Ahmad di 7:04 PTG
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
0 ulasan:
Catat Ulasan