BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS

Ahad, 2009 Oktober 04

BAHASA MELAYU BAHASA DUNIA

Tanggal 28 hingga 30 September 2009, Pusat Antarabangsa Konvensyen PERSADA Johor, Johor Bahru telah menjadi medan pertemuan para sarjana dan akademikus bahasa Melayu baik dari Malaysia mahupun luar negara. Persidangan Antarabangsa Bahasa Melayu Bahasa Dunia telah berjaya menghimpunkan 420 orang peserta dan 30 orang pemakalah telah diundang untuk membentangkan kertas kerja masing-masing untuk mengabsahkan tema Bahasa Melayu Bahasa Dunia. Majlis ilmu ini telah dirasmikan oleh Yang Amat Berhormat Dato' Haji Abd. Ghani bin Othman, Menteri Besar Johor.
video

Rabu, 2009 September 16

Karangan Jenis Rangsangan 4

Dengan berdasarkan gambar di bawah, huraikan pendapat anda tentang kepentingan komputer dalam kehidupan. Panjangnya huraian anda hendaklah tidak melebihi 120 patah perkataan.

Komputer yang merupakan salah satu wahana telekomunikasi yang canggih semakin digemari oleh masyarakat kini. Terdapat banyak kepentingan komputer dalam kehidupan manusia.

Antara kemaslahatan komputer termasuklah membantu proses pengajaran dan pembelajaran di dalam kelas. Sebagai buktinya, guru dapat mengakses bahan pengajaran daripada Internet sekali gus menjadikan pembelajaran murid lebih proaktif.

Selain itu, kita dapat menyimpan pelbagai maklumat di dalam komputer. Sebagai tamsilnya, murid dapat menyimpan maklumat yang berkaitan dengan tugasan sekolah dengan selamat di dalam komputer.

Seterusnya, penggunaan komputer memudahkan kerja seseorang. Sebagai contohnya, kartunis moden banyak menggunakan grafik komputer untuk menyiapkan sebuah komik atau filem animasi kontemporari.

Kesimpulannya, kecanggihan komputer tidak dapat dinafikan. Kita seyogianya menggunakan komputer dengan cara yang berhemah agar kita tidak hidup seperti katak di bawah tempurung.

[120 patah perkataan]

Binaan Ayat nan Gramatis dengan Kata Kerja Transitif

1. Abang membaca buku cerita untuk adik.
2. Abang membacakan adik buku cerita.

3. Cikgu Hasnah mengajar anaknya menulis karangan.
4. Cikgu Hasnah mengajari anaknya menulis karangan.
5. Cikgu Hasnah mengajarkan teknik penulisan karangan kepada anaknya.

6. Kakak membawa semangkuk bubur lambuk untuk nenek.
7. Kakak membawakan nenek semangkuk bubur lambuk.

8. Ibu menjahit baju kebaya untuk adik.
9. Ibu menjahitkan adik baju kebaya.

10. Ayah menulis sepucuk warkah untuk abang.
11. Ayah menuliskan abang sepucuk warkah.

12. Shuhada mengirimi Majidah kad hari raya.
13. Shuhada mengirimkan kad hari raya untuk Majidah.

14. Shahir mencari ulam pegaga untuk Hidayati.
15. Shahir mencarikan Hidayati ulam pegaga.

16. Datin Rosilah membekali suaminya buah kurma.
17. Datin Rosilah membekalkan buah kurma untuk suaminya.

18. Puan Hasiah membuat air sirap untuk Puan Masdura.
19. Puan Hasiah membuatkan Puan Masdura air sirap.

20. Puan Rohana menyuapi anaknya kuetiau goreng.
21. Puan Rohana menyuapkan kuetiau goreng ke dalam mulut anaknya.

22. Ariff meminjam novel Tegar di perpustakaan sekolah.
23. Ariff meminjami Firdaus novel Tegar.
24. Ariff meminjamkan novel Tegar kepada Firdaus.

25. Pak Musa menikami peragut itu dengan kerisnya.
26. Pak Musa menikamkan kerisnya ke paha peragut itu.

27. Encik Farozi memberi anaknya sebuah kamera digital.
28. Encik Farozi memberikan sebuah kamera digital kepada anaknya.

29. Puan Vimala membeli sebuah rumah banglo untuk ibunya.
30. Puan Vimala membelikan ibunya sebuah rumah banglo.

31. Penjual itu menawari gadis itu sebentuk cincin emas.
32. Penjual itu menawarkan sebentuk cincin emas kepada gadis itu.

33. Sultan menganugerahi Azrai Bintang Seri Kelana.
34. Sultan menganugerahkan Bintang Seri Kelana kepada Azrai.

35. Puan Ramziah menghadiahi suaminya kereta Proton Exora.
36. Puan Ramziah menghadiahkan kereta Proton Exora kepada suaminya.