BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS

Jumaat, 21 Ogos 2009

Seminar Kebangsaan Bahasa Melayu Kontemporari 2009

Tanggal 21 Ogos 2009, Jumaat, Seminar Kebangsaan Bahasa Melayu Kontemporari 2009 telah sempurna berlangsung di Dewan Sri Rambai, Z & H Inn, Kota Bharu, Kelantan. Seminar yang bertemakan "Bahasa Melayu: Daripada Ranah Tradisional kepada Domain Globalisasi" merupakan anjuran para pelajar Sarjana Sastera Pengajian Bahasa Melayu Kontemporari Kohort 1 dan Kohort 2 Universiti Utara Malaysia (UUM) Zon Timur. Encik Mohamad Azmi bin Abdul Rahman, Penyelaras Program Sarjana Bahasa Melayu Kontemporari telah merasmikan seminar sehari ini mewakili Prof. Madya Dr. Hajah Nuraini bt. Yusoff, Pengerusi Bidang Kemanusiaan, Kolej Sastera dan Sains, Universiti Utara Malaysia, Sintok, Kedah. Seminar akademik yang bermula pada jam 8.30 pagi hingga 5.00 petang ini turut dihadiri oleh akademikus UUM, iaitu Puan Hajah Nasariah bt. Mansor, Puan Ainal Akhmar bt. Haji Ahmad, Puan Suhaila bt. Che Pa, dan Encik Nasrol Hadi bin Ahmad Shukri.
Menurut Encik Azmi, "Ilmu diburu dan diadun dalam ruang kehidupan yang bermakna ini. Ilmu di minda kita hendaklah bertambah pada setiap hari. Helaian ilmu bertambah setiap hari. Guru kita juga bertambah setiap hari. Hal ini menunjukkan bahawa ilmu kita bertambah. Namun, jika diselami makna kehidupan, dan dunia keilmuan, tiada titik noktah dan tiada kehabisan ilmu yang kita terokai. Hanya Allahlah Yang Maha Mengetahui dan Yang Maha Berkuasa memiliki semuanya. Ilmu yang kita miliki bukanlah bersifat baharu dan abadi. Tugas kita sebagai hamba-Nya memburu, mencari, menambah dan mempraktikkan apa-apa jua ilmu yang bermanfaat untuk makhluk-Nya. Dengan ilmu, kita beramal, dan amalan yang baik, kita mendapat berkat dan pahala. Akhirnya, membawa kita ke syurga." Encik Azmi juga telah menyampaikan gurindam untuk halwa telinga para peserta seminar yang bertajuk "Gurindam Kesarjanaan".

Dalam seminar kebangsaan ini, sebanyak 15 kumpulan telah membentangkan kerja kerja masing-masing. Antara mauduk kertas kerja yang dibentangkan termasuklah "Penguasaan Tanda Baca dan Ejaan Bahasa Melayu dalam Kalangan Pelajar Prauniversiti di SMK Sri Gunung", "Pengaruh Bahasa Asing dalam Bahasa Melayu", "Penggunaan Dialek dalam Pengajaran dan Pemelajaran Bahasa Melayu di Sekolah Rendah: Satu Tinjauan", dan "Pengetahuan Guru-guru Bahasa Melayu Tingkatan 4 dan 5 terhadap Aras Taksonomi Bloom: Satu Kajian Kes". Setiap kumpulan diperuntukkan masa 15 minit dalam sesi pembentangan. Beberapa orang peserta seminar turut memajukan komentar dan cadangan sebagai perkongsian minda sekali gus memberikan nilai tambah kepada khalayak seminar ilmiah ini. Kedudukan Bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi negara dalam Artikel 152 Perlembagaan Persekutuan sewajarnya diletakkan di tempat yang mulia agar bahasa ibunda ini dapat duduk sama rendah dan berdiri sama tinggi dengan bangsa di negara maju lain di seantero buana Allah SWT ini.

Tuntas bicara, Seminar Kebangsaan Bahasa Melayu Kontemporari 2009 telah berjaya mengeratkan ukhuwah Islamiah antara pelajar Sarjana Bahasa Melayu Kohort 1, Sarjana Bahasa Melayu Kohort 2, dan pensyarah UUM sekali gus mengabsahkan objektif seminar yang julung-julung kali diadakan ini. Sesungguhnya, sinergi nan mapan via seminar kesarjanaan sebegini perlu diteruskan dari semasa ke semasa untuk mengizharkan martabat bahasa Melayu sebagai bahasa peradaban dunia pada milenium ini.




0 ulasan: