Tempurung kelapa asalnya ia
direka digubah pelbagai guna
dalam kehidupan sentiasalah ia ada
lambang kehalusan nilai cipta seni bangsa
menghargai kurnia alam semesta semestinya.
Batok namanya dipanggil biasa
bertangkai bertam agar mudah memegangnya
di kaki tangga duduknya sentiasa tersedia
bersekali tempayan tanah sesuai jodohnya
mencedok air membersih kaki sebelum
menginjak tangga.
Lalu dikarang orang akan ungkapan kata
seperti melepaskan batok di tangga
fahami maksud akan erti agar dapat diduga
agar tidak termengung membuat kerja segala
Gopoh-gapah menurut kata khilaf menjangka
membawa mudarat serta celaka kepada semua.
[A. Ghafar Haji Abdullah]
0 ulasan:
Catat Ulasan