BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS

Isnin, 15 Februari 2010

BAYI LELAKI DIBAKAR DI KUALA KRAI, KELANTAN


Belakangan ini, kes pembuangan bayi kian leluasa di negara kita. Mengapakah perkara ini berlaku? Adakah manusia sudah semakin hilang maruah diri dan nilai kemanusiaan? Kejadian terbaharu penemuan mayat bayi lelaki rentung separuh badan di dalam sebuah tong sampah di Jalan Tengku Zainal Abidin berhampiran dengan Agrobank cawangan Kuala Krai, Kelantan pada pagi Sabtu, 13 Februari 2010 mengundang seribu persoalan. Yang menyedihkan, mayat bayi tersebut masih beruri dan bertali pusat dan turut ditemui ialah kakinya yang terputus. Hanya Allah SWT yang mengetahui hamba-Nya yang melakukan perbuatan terkutuk ini. Hanya Allah SWT jua yang mengetahui niat jahat hamba-Nya yang tidak berperikemanusiaan dan bertuhankan syaitan durjana ini.


Semua pihak tidak seharusnya menuding jari pabila membaca berita yang menyayat hati ini melalui akhbar tempatan pada 14 Februari 2010. Usahlah kita menyalahkan kaum lelaki atau kaum perempuan yang melakukan perbuatan manusia yang tidak bertamadun ini. Hal ini demikian kerana kita tidak mengetahui siapa-siapa yang melakukan perbuatan jahat ini. Yang perlu kita lakukan sekarang ialah semua pihak baik golongan marhaen, pemimpin parti siasah, wakil-wakil rakyat, pekerja swasta, pensyarah, atau guru seyogianya berani menegur perbuatan sumbang lelaki dan perempuan yang berdua-duaan di tempat sunyi atau awam. Kita sewajarnya ngeran akan kejadian pembuangan bayi yang tragik ini. Persoalannya, sampai bilakah kita turut menanggung dosa yang sama lantaran ketegaran dan kejengkelan kita untuk menegur mana-mana pasangan yang sedang melakukan adegan memalukan di hadapan keluarga kita?


Lazimnya, masyarakat kita jarang menegur pasangan yang sedang dilamun cinta melakukan perbuatan sumbang yang terang-terang berlaku di hadapan mata. Sebaliknya, kita hanya berani menegur mereka secara monolog. Kita menyumpah dan mengumpat keji mereka yang berpacaran tetapi tidak berani untuk menegur mereka. Inilah hakikat yang berlaku dalam kalangan sesetengah masyarakat kita lantaran bimbang dimarahi pasangan itu atau dikatakan sibuk menjaga tepi kain orang. Buktinya, sudah terang lagi bersuluh. Bayi yang dikandung secara haram waima atas kerelaan atau tanpa kerelaan kaum wanita menjadi mangsa. Bayi dibuang ke dalam sungai, ditinggalkan di tepi masjid, dan yang terbaharu dibakar. Peristiwa pembuangan dan pembunuhan bayi ini mungkin dilakukan oleh pasangan remaja lelaki atau perempuan yang telah merancangnya dari awal lantaran sifat malu nan menebal dalam diri untuk berhadapan dengan keluarga atau masyarakat sekeliling.


Apabila pemaparan berita kes pembuangan bayi disiarkan melalui media massa, semua pihak sibuk mencadangkan pelbagai langkah proaktif untuk menangani perkara yang mengaibkan agama Islam ini. Yang terkini ialah kerajaan menyediakan tempat untuk memudahkan si ibu mengadu nasib mereka yang telah terlanjur. Akhirnya, cadangan tinggal cadangan umpama cakap degar-degar, tahi lekat di gelegar atau hangat-hangat tahi ayam. Hakikatnya, amat sukar sekali untuk membendung perbuatan yang tidak bermoral ini selagi dunia hiburan, antara tamsil yang jelas, yang disulami arak, judi, dadah, dan seks bebas berleluasa. Selain itu, penjualan dan penyebaran bahan-bahan pornografi melalui pelbagai media turut mengundang kebimbangan seperti VCD, DVD atau bahan lucah daripada Internet.
Kadangkala kita lupa bahawa akhbar tempatan turut menyebarkan bahan lucah secara tidak langsung, iaitu melalui pemaparan iklan model wanita atau lelaki yang berpakaian seksi. Adakah kita menyedarinya atau berpura-pura tidak menyedari hal ini? Adakalanya, sesetengah artis wanita sengaja berpakaian seksi tatkala sesi penggambaran dengan wartawan akhbar tempatan. Ingatlah! Selagi kita hidup di muka bumi ini, selagi itulah nafsu manusia sentiasa melingkari hati dan minda umat Nabi Muhammad SAW ini. Hanya insan yang benar-benar beriman dengan bersumberkan al-Quran dan Hadis Nabi yang mampu menangkis serangan iblis yang sekian lama berjanji untuk merosakkan manusia. Ya, Allah! Ampunilah dosa-dosa kami. Lindungilah kami. Selamatkanlah umat Nabi Muhammad SAW di muka bumi ini.

0 ulasan: