BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS

Rabu, 9 September 2009

'Sehubungan dengan itu' atau 'Sehubungan itu'?

Frasa 'Sehubungan dengan itu' sering kali mengelirukan pengguna bahasa Melayu. Hal ini demikian kerana frasa gabungan 'Se' + 'hubungan' + 'dengan' + 'itu' dikatakan menyalahi hukum tatabahasa bahasa Melayu. Mengapakah kita begitu mudah menghukum kesalahan frasa ini sedemikian rupa?

Awalan 'se' bermaksud 'sama'. Sebagai contohnya,
1a. Baju adik secantik baju kakak.
1b. Baju adik sama cantik dengan baju kakak.

2a. Masakan ibu sesedap masakan nenek.
2b. Masakan ibu sama sedap dengan masakan nenek.

Kata 'hubungan' pula merujuk kepada kata nama terbitan dan boleh berdiri dengan sendiri. Sebagai contohnya,

3. Hubungan diplomatik antara Malaysia dengan Brunei amat baik.
4. Hubungan antara keluarga suami dengan keluarga isteri perlu disulami dengan kasih sayang.

Kata 'dengan' ialah kata sendi nama dalam domain kata tugas. Sebagai contohnya,

5. Adi pergi ke kedai runcit dengan bapa.
6. Mak Cik Nazirah memotong sayur dengan menggunakan pisau.

Kata 'itu' merujuki kata ganti nama tunjuk. Sebagai tamsilnya,

7. Rumah yang berharga RM 3 juta itu ialah kepunyaan Datuk Elias.
8. Lelaki yang berbaju batik itu ialah Pengetua SMK Umbai.

Yang perlu diingatkan juga ialah frasa ini juga bukan merujuk kepada 'Se' + 'hubung' + 'dengan' + 'itu'. Kata 'hubungan' bukannya akronim daripada kata nama 'hubung' + kata sendi nama 'dengan'.
Sebenarnya, frasa di atas berasal daripada frasa 'Sehubungan dengan perkara itu...". Kata 'perkara' telah mengalami pengguguran.

Tuntasnya, frasa 'Sehubungan dengan itu' adalah tepat dan tidak menyalahi hukum tatabahasa bahasa Melayu.

2 ulasan:

Unknown berkata...

Cikgu, adakah penggunaan "sehubungan itu" salah ?

Unknown berkata...

Sehubungan dengan itu...adalah betul dan x menyalahi hukum tatabahasa.