BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS

Rabu, 16 September 2009

Karangan Jenis Rangsangan 4

Dengan berdasarkan gambar di bawah, huraikan pendapat anda tentang kepentingan komputer dalam kehidupan. Panjangnya huraian anda hendaklah tidak melebihi 120 patah perkataan.

Komputer yang merupakan salah satu wahana telekomunikasi yang canggih semakin digemari oleh masyarakat kini. Terdapat banyak kepentingan komputer dalam kehidupan manusia.

Antara kemaslahatan komputer termasuklah membantu proses pengajaran dan pembelajaran di dalam kelas. Sebagai buktinya, guru dapat mengakses bahan pengajaran daripada Internet sekali gus menjadikan pembelajaran murid lebih proaktif.

Selain itu, kita dapat menyimpan pelbagai maklumat di dalam komputer. Sebagai tamsilnya, murid dapat menyimpan maklumat yang berkaitan dengan tugasan sekolah dengan selamat di dalam komputer.

Seterusnya, penggunaan komputer memudahkan kerja seseorang. Sebagai contohnya, kartunis moden banyak menggunakan grafik komputer untuk menyiapkan sebuah komik atau filem animasi kontemporari.

Kesimpulannya, kecanggihan komputer tidak dapat dinafikan. Kita seyogianya menggunakan komputer dengan cara yang berhemah agar kita tidak hidup seperti katak di bawah tempurung.

[120 patah perkataan]

Binaan Ayat nan Gramatis dengan Kata Kerja Transitif

1. Abang membaca buku cerita untuk adik.
2. Abang membacakan adik buku cerita.

3. Cikgu Hasnah mengajar anaknya menulis karangan.
4. Cikgu Hasnah mengajari anaknya menulis karangan.
5. Cikgu Hasnah mengajarkan teknik penulisan karangan kepada anaknya.

6. Kakak membawa semangkuk bubur lambuk untuk nenek.
7. Kakak membawakan nenek semangkuk bubur lambuk.

8. Ibu menjahit baju kebaya untuk adik.
9. Ibu menjahitkan adik baju kebaya.

10. Ayah menulis sepucuk warkah untuk abang.
11. Ayah menuliskan abang sepucuk warkah.

12. Shuhada mengirimi Majidah kad hari raya.
13. Shuhada mengirimkan kad hari raya untuk Majidah.

14. Shahir mencari ulam pegaga untuk Hidayati.
15. Shahir mencarikan Hidayati ulam pegaga.

16. Datin Rosilah membekali suaminya buah kurma.
17. Datin Rosilah membekalkan buah kurma untuk suaminya.

18. Puan Hasiah membuat air sirap untuk Puan Masdura.
19. Puan Hasiah membuatkan Puan Masdura air sirap.

20. Puan Rohana menyuapi anaknya kuetiau goreng.
21. Puan Rohana menyuapkan kuetiau goreng ke dalam mulut anaknya.

22. Ariff meminjam novel Tegar di perpustakaan sekolah.
23. Ariff meminjami Firdaus novel Tegar.
24. Ariff meminjamkan novel Tegar kepada Firdaus.

25. Pak Musa menikami peragut itu dengan kerisnya.
26. Pak Musa menikamkan kerisnya ke paha peragut itu.

27. Encik Farozi memberi anaknya sebuah kamera digital.
28. Encik Farozi memberikan sebuah kamera digital kepada anaknya.

29. Puan Vimala membeli sebuah rumah banglo untuk ibunya.
30. Puan Vimala membelikan ibunya sebuah rumah banglo.

31. Penjual itu menawari gadis itu sebentuk cincin emas.
32. Penjual itu menawarkan sebentuk cincin emas kepada gadis itu.

33. Sultan menganugerahi Azrai Bintang Seri Kelana.
34. Sultan menganugerahkan Bintang Seri Kelana kepada Azrai.

35. Puan Ramziah menghadiahi suaminya kereta Proton Exora.
36. Puan Ramziah menghadiahkan kereta Proton Exora kepada suaminya.

Kosa Kata Indah 6

1. Tersisip
Maksud:
a. sudah disisip atau terselit
b. terkandung (termasuk) dalam

2. Terlekat
Maksud: melekat atau lekat pada, telah dilekatkan

3. Tersemat
Maksud:
a. telah disemat atau disematkan, telah tercantum
b. terletak, terpateri (dalam hati, ingatan), terasa

4. Tersarung
Maksud:
a. terletak dalam sarung (keris, pedang), dalam keadaan bersarung
b. terlekat atau terpakai (pakaian)

Kosa Kata Indah 5

1. Meleding
Maksud:
a. membengkok atau melengkung (papan, pisau)
b. melentik badan (kerana dipukul)
c. melendut
d. membengkok ke bawah atau tidak tegang

2. Melenduh
Maksud: jatuh atau terkulai ke bawah, terjuih (bibir)

3. Melurut
Maksud:
a. memegang dengan jari dan mengurut
b. melucutkan dengan jari (cincin)
c. memicit dengan jari untuk melicinkan (kertas)
d. menceraikan biji-bijian daripada tangkainya
e. memetik hingga habis (buah-buahan)
f. mengopek (mengelupaskan) daging daripada tulang
g. mengalir (air sungai)
h. berguling (pada bidang yang landai)

4. Meleweh
Maksud:
a. cuai atau lalai
b. bongkak atau sombong

Uji Peribahasa 4

Padankan makna peribahasa yang berikut:
1. Makan di luar berak di dalam. [ ]
2. Murah di mulut, mahal di timbangan. [ ]
3. Muka licin, ekor berkedal. [ ]
4. Sakit kepala panjang rambut, patah selera banyak makan. [ ]
5. Sama seperahu. [ ]
6. Sampah jangan ditendang disepak. [ ]
7. Samun sakal berdarah tangan. [ ]
8. Satu dijentik, sepuluh rebah. [ ]
9. Sebab berkelahi dengan perigi, akhirnya mati dahaga. [ ]
10. Sayang garam sececah, busuk kerbau seekor. [ ]

Makna peribahasa:
A. Pada lahirnya baik, tetapi hatinya jahat.
B. Orang yang miskin jangan dihinakan.
C. Orang yang pada lahirnya tidak suka, tetapi hatinya suka sekali.
D. Sesuatu perkara yang akan diperiksa hendaklah ada buktinya.
E. Kerana takut rugi sedikit, akhirnya jadi rugi banyak.
F. Mengkhianati tempat mendapat perlindungan.

G. Orang yang sama-sama terlibat dalam suatu hal yang membimbangkan, jika berlaku sesuatu kesusahan maka kesemuanya menanggung akibat.
H. Kerana melawan perintah (menentang) orang yang berkuasa akhirnya mendapat kesusahan.
I. Banyak janji, sedikit saja yang ditepati; mudah menyebut, tetapi sukar mengerjakannya.
J. Seorang yang dikata-katai, sekalian yang mendengar ikut merasa.

Uji Peribahasa 3

Padankan makna peribahasa yang berikut:
1. Gaharu dibakar kemenyan berbau. [ ]
2. Jadi air mandi. [ ]
3. Jangan bersandar di batang rengas. [ ]
4. Jangan diajar anak harimau makan daging. [ ]
5. Macam kikir besi. [ ]
6. Makin murah makin menawar. [ ]
7. Malang Pak Kaduk, ayamnya menang kampung tergadai. [ ]
8. Malas bergarit, perut perit. [ ]
9. Tak ada padi yang bernas setangkai. [ ]
10. Tak akan kerana seekor ayam tidak berkokok, hari tak siang. [ ]

Makna peribahasa:
A. Sudah menjadi kebiasaan.
B. Telah mendapat kesenangan, mahukan kesenangan yang lebih lagi.
C. Orang yang kedekut.
D. Malas bekerja tiada pendapatan.
E. Orang yang memperlihatkan kelebihannya supaya dipercayai orang.
F. Bukan seorang sahaja yang handal di sesuatu tempat kerana walaupun dia tidak ada, kerja tersebut tidak akan tergendala.
G. Anak orang yang berkuasa jangan digalakkan berbuat zalim.
H. Tidak perlu meminta perlindungan daripada orang jahat walaupun dia orang besar atau berpangkat.
I. Orang yang bernasib malang kerana semua yang dimiliki habis binasa.
J. Tiada sesuatu apa pun yang sempurna.

Isnin, 14 September 2009

Mengenal Frasa Bahasa Melayu yang Lewah II

1. Pemelajaran komsas mencakupi tujuh unsur-unsur yang berikut: ...
2. Projek penternakan bebiri memerlukan penggabungan kesemua elemen-elemen ...
3. Ramai pengguna-pengguna jalan raya ...
4. Penambahan jumlah pekerja-pekerja yang berkemahiran ...
5. Dalam majlis itu, sejumlah besar ahli-ahli Kelab Rakan Muda ...
6. Kem kerohanian itu menempatkan sebilangan besar peserta-peserta ...
7. Sekawan burung-burung kelihatan ...
8. Jurukamera sambilan sedang mengambil gambar sebaris rumah-rumah kedai ...
9. Pengetua menasihati sekumpulan murid-murid agar ...
10. Beberapa orang pustakawan begitu ralik menyusun setimbun buku-buku baharu ...

Kosa Kata Indah 4

1. Muncul
Maksud: keluar tiba-tiba, datang menampakkan diri, terbit, timbul

2. Terbit
Maksud:
a. keluar dari permukaan (air), keluar dari tempat terlindung (bulan, matahari), muncul, timbul
b. berbangkit (perasaan hati, fikiran), lahir, timbul
c. siap dicetak dan diedarkan (buku, majalah), tersiar (berita, makalah)
d. keluar memancar (air, cahaya), keluar (peluh, air mata)
e. keluar (dari rumah, persembunyian)
f. tumbuh atau keluar daripada
g. berpunca atau bermula daripada

3. Timbul
Maksud:
a. naik dari dalam air (lumpur) hingga tampak pada permukaannya
b. terapung-apung pada permukaan air, tidak tenggelam
c. terkeluar (tersembul) sedikit dari permukaan yang rata
d. muncul, keluar, kelihatan
e. terlintas di hati, berbangkit, datang
f. berlaku, terjadi
g. terbit (bulan, matahari)

Ahad, 13 September 2009

Kosa Kata Indah 3

1. Ras
Maksud: kaum, keturunan
2. Etnik
Maksud: bangsa manusia
3. Bangsa

Maksud: jenis manusia daripada satu asal keturunan, kumpulan manusia dalam satu ikatan ketatanegaraan, macam atau jenis, jantina atau jenis kelamin, darjat tinggi atau keturunan mulia

Kosa Kata Indah 2

1. Jerayawara

Maksud: persembahan, pameran, ceramah yang diadakan oleh seseorang atau sekumpulan orang (penyanyi, ahli politik) yang berkunjung dari satu tempat ke satu tempat lain dengan tujuan untuk memberikan hiburan, menjelaskan sesuatu isu kepada orang ramai, mempromosikan sesuatu.
2. Bicarawara
Maksud: rancangan televisyen atau radio yang mengandungi temu bual antara hos dengan tetamu undangan berkaitan dengan tajuk tertentu, rancangan temu bual.
3. Candawara
Maksud: rancangan (televisyen, radio) berbentuk permainan yang dipertandingkan yang memerlukan peserta menjawab, membuat sesuatu untuk menang.
4. Wara-wara
Maksud: pemberitahuan, pengumuman, pengisytiharan

Mengenal Frasa Bahasa Melayu yang Lewah I

Yang berikut adalah antara frasa bahasa Melayu yang sering kali diungkapkan secara salah oleh pengguna bahasa Melayu domestik waima disedari atau tidak. Antaranya termasuklah:

1. Selain daripada itu, ...
2. Kebanyakan pendengar-pendengar Radio Era ...
3. Antara prasarana kemudahan yang disediakan termasuklah ...
4. Demi untuk negara tercinta, ...
5. Semua pengguna perlu membaca terma dan syarat ...
6. Semua guru-guru diminta ...
7. Ada murid-murid yang ...
8. Antara masalah-masalah yang ...
9. Marcapada ini, isu kekurangan ...
10. Salah satu daripada faktor kemerosotan ...
11. Pada masa kini, ...
12. Penumpang bas ekspres saling tolak-menolak ...
13. Ahli saintis tempatan ...
14. Sejak kebelakangan ini, ...

15. Para-para ibu bapa hendaklah ...

Perihal kata 'menjolok' dan 'mencolok'

Menurut Kamus Dewan edisi keempat, kata 'menjolok' berkonotasi:
1. menusuk (merodok) sesuatu dengan galah supaya gugur, menusuk ke dalam lubang;
2. memasukkan jari tangan ke dalam lubang hidung (kerongkong);
3. memancing-mancing keterangan daripada orang, mengajuk atau menduga (hati orang)

Kata 'mencolok' pula bererti:
1. mencucuk (menusuk);
2. mencolok mata
(i) mencucuk mata
(ii) tampak jelas, kelihatan jelas benar
(iii) membangkitkan marah orang yang melihat, menyakitkan hati, memberi malu.

Uji Peribahasa 2

Padankan makna peribahasa yang berikut:
1. Laksana barang yang disadur. [ ]
2. Laksana batik lasam. [ ]
3. Laksana burung diam dalam sangkar. [ ]
4. Laksana kain putih. [ ]
5. Laksana katak diharung ular. [ ]
6. Laksana kodok ditimpa kemarau. [ ]
7. Lambat laga asalkan menang. [ ]
8. Langit runtuh bumi cair. [ ]
9. Laut budi tepian akal. [ ]
10. Layang-layang putus talinya. [ ]

Makna peribahasa:
A. Sesuatu yang semakin lama dipakai semakin baik keadaannya.
B. Gelisah tidak keruan.
C. Lari lintang-pukang kerana takut.
D. Kehilangan tempat bergantung hidup.
E. Orang yang tidak tahan diuji.
F. Berserah kepada nasib sahaja, tiada daya usaha lagi, tiada harapan.
G. Kanak-kanak yang masih kecil.
H. Orang yang tidak bebas hidupnya.
I. Biarlah lambat, asalkan hajat tercapai.
J. Orang yang cerdik pandai.

Sabtu, 12 September 2009

Uji Peribahasa 1

Padankan makna peribahasa yang berikut:
1. Kalau kucing tidak bermisai, tak akan ditakuti tikus lagi. [ ]
2. Kalau panjang beri beruas, kalau pendek beri berbuku. [ ]
3. Kalau tak berduit, ke mana pergi tercuit-cuit. [ ]
4. Kalau takut dilimbur pasang, jangan berumah di tepi pantai. [ ]
5. Macam kikir besi. [ ]
6. Karam berdua, basah seorang. [ ]
7. Kasihkan pinang sebatang daripada aur serumpun. [ ]
8. Malas bergarit, perut perit. [ ]
9. Kayu bengkok masakan lurus bayangnya. [ ]
10. Kayuh sambil bertimba. [ ]

Makna peribahasa:
A. Sesuatu pekerjaan dibuat mengikut peraturan.
B. Dua orang yang melakukan kesalahan, tetapi hanya seorang yang dihukum.
C. Orang yang kedekut atau bakhil.
D. Malas bekerja tiada pendapatan.
E. Orang besar yang sudah dipecat tidak akan disegani lagi.
F. Dapat menyelesaikan dua tiga pekerjaan serentak.
G. Kalau takut menanggung kesusahan janganlah melakukan kerja yang susah.
H. Orang yang tidak berduit susah hidupnya.
I. Lebih sayangkan orang lain daripada kaum keluarga sendiri.
J. Orang yang bercakap bohong tidak dapat dipercayai.

Khamis, 10 September 2009

Mantap Kosa Kata, Bijak Bahasa

Cuba cari padanan perkataan yang berhuruf tebal. Gunakan Kamus Dewan edisi keempat seandainya anda menghadapi kemusykilan.

1. berhalus
A bertertib
B bersopan santun
C berbaik
D berbudi bahasa

2. berharga
A berkuasa
B kos
C bermanfaat
D nilai

3. berharmoni
A bersatu
B bersependapat
C berirama
D bersetuju

4. berhemat
A berjimat
B berhati-hati
C berbelanja
D berjaga-jaga

5. berhembus
A tiup
B bertiup
C meniupkan
D meniup

6. berhikmah
A rasional
B pandai
C bijaksana
D hebat

7. berhubung
A bersambungan
B berpautan
C berangkaian
D berkenaan

8. berikhtiar
A bekerja
B mengerjakan
C berusaha
D mengusahakan

9. berimbang
A banding
B berbanding
C perbandingan
D bandingan

10. berintegrasi
A berpadu
B bergabung
C bersatu
D berkelompok

11. beristirahat
A berhenti
B berehat
C henti
D rehat

12. berjamu
A berziarah
B bertamu
C bertandang
D berhidang

13. berjangkit
A menyerang
B berpindah
C berhijrah
D menular

14. berjasa
A membantu
B bertenaga
C berbakti
D menyumbang

15. berjawab
A bersahut
B berbalas
C menyahut
D membalas

16. berjaya
A berhasil
B kemenangan
C beroleh
D kemajuan

17. berjejak
A tabiat
B bertumpu
C perangai
D berjalan

18. berjiwa
A mati
B kematian
C hidup
D kehidupan

19. berjual
A membeli
B berekonomi
C mengambil
D berdagang

20. berjuang
A bergerak
B berlaga
C berperang
D berebut

Rabu, 9 September 2009

'Sehubungan dengan itu' atau 'Sehubungan itu'?

Frasa 'Sehubungan dengan itu' sering kali mengelirukan pengguna bahasa Melayu. Hal ini demikian kerana frasa gabungan 'Se' + 'hubungan' + 'dengan' + 'itu' dikatakan menyalahi hukum tatabahasa bahasa Melayu. Mengapakah kita begitu mudah menghukum kesalahan frasa ini sedemikian rupa?

Awalan 'se' bermaksud 'sama'. Sebagai contohnya,
1a. Baju adik secantik baju kakak.
1b. Baju adik sama cantik dengan baju kakak.

2a. Masakan ibu sesedap masakan nenek.
2b. Masakan ibu sama sedap dengan masakan nenek.

Kata 'hubungan' pula merujuk kepada kata nama terbitan dan boleh berdiri dengan sendiri. Sebagai contohnya,

3. Hubungan diplomatik antara Malaysia dengan Brunei amat baik.
4. Hubungan antara keluarga suami dengan keluarga isteri perlu disulami dengan kasih sayang.

Kata 'dengan' ialah kata sendi nama dalam domain kata tugas. Sebagai contohnya,

5. Adi pergi ke kedai runcit dengan bapa.
6. Mak Cik Nazirah memotong sayur dengan menggunakan pisau.

Kata 'itu' merujuki kata ganti nama tunjuk. Sebagai tamsilnya,

7. Rumah yang berharga RM 3 juta itu ialah kepunyaan Datuk Elias.
8. Lelaki yang berbaju batik itu ialah Pengetua SMK Umbai.

Yang perlu diingatkan juga ialah frasa ini juga bukan merujuk kepada 'Se' + 'hubung' + 'dengan' + 'itu'. Kata 'hubungan' bukannya akronim daripada kata nama 'hubung' + kata sendi nama 'dengan'.
Sebenarnya, frasa di atas berasal daripada frasa 'Sehubungan dengan perkara itu...". Kata 'perkara' telah mengalami pengguguran.

Tuntasnya, frasa 'Sehubungan dengan itu' adalah tepat dan tidak menyalahi hukum tatabahasa bahasa Melayu.