BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS

Khamis, 25 November 2010

NOVEL SUTERA DALAM LUKISAN oleh ABDUL TALIB MOHD HASSAN


Murid-murid Tingkatan 5 Zon 3 Melaka, Kelantan, Terengganu, dan Pahang akan mempelajari novel komsas SUTERA DALAM LUKISAN karya Abdul Talib Mohd Hassan pada tahun 2011. Novel ini mengandungi 20 bab dan semua murid seyogianya membacanya selain mengalami dan menghayati plot cerita.

Antara perenggan menarik yang terdapat dalam novel ini termasuklah:-

Sesekali dia teringat akan kematian. Bapanya sudah tiada, ibunya tiada dan neneknya pun tiada. Kematian seolah-olah akan tiba kepadanya pula.

Sambil mengerang itu dia menyebut nama Tuhan, meminta tolong daripada Allah. Sempat pula dia melihat dan menilai dirinya dalam amalan dan ibadahnya kepada Allah.

(Bab 9, halaman 141)

NOVEL LESTARI BUKIT MENGHIJAU oleh SYED MAHADZIR SYED IBRAHIM


Murid-murid Tingkatan 2 Zon 3 Melaka, Kelantan, Terengganu, dan Pahang akan menguna pakai novel komsas baharu mulai 2011, iaitu LESTARI BUKIT MENGHIJAU karya Syed Mahadzir Syed Ibrahim.

Apakah yang anda faham akan maksud kata LESTARI?

NOVEL RENYAH oleh GUNAWAN MAHMOOD

Murid-murid Tingkatan 4 Zon 3 Melaka, Kelantan, Terengganu, dan Pahang sudah pun usai membaca dan menelusuri novel RENYAH karya Gunawan Mahmood.

Apakah yang anda faham akan definisi kata RENYAH?
Menurut Kamus Dewan edisi keempat, kata renyah bermaksud:-
1. leceh, rumit, susah (kerana memerlukan tenaga, benda yang banyak)
Ayat contoh: Antara biskut moden dengan dodol asli, maka dodol asli lebih menyelerakan tetapi amat renyah untuk mengacaunya.

2. tidak senang, gelisah, risau, waswas
Ayat contoh: Datuk Dolhi dan Datin Tominah berasa amat renyah akan kelakuan anak lelaki mereka, Dani.


ANALISIS KESALAHAN BAHASA 1

Bahasa Melayu 910/2 STPM November 2010

Arahan: Kenal pasti kesalahan bahasa dalam petikan di bawah ini. Bagi setiap kesalahan, jelaskan sebab kesalahan dan kemudian buat pembetulan.

Beberapa orang Ahli Jawatankuasa Persatuan Sejarah telah berbincang tentang usaha untuk meningkatkan bilangan ahli-ahli persatuan tersebut. Selain melancarkan kempen kesedaran, pameran tentang pelbagai perkara yang berkaitan dengan sejarah tanah air akan diadakan menjelang sambutan Hari Ulang Tahun Kemerdekaan Negara tidak lama lagi. Pada masa yang sama, mereka bersetuju membaik pulih kawasan tanah perkuburan, termasuk sebuah bangunan peninggalan penjajah yang terletak di daerah itu. Pengabaian kawasan itu mungkin disebabkan saiznya yang kecil. Sebenarnya, bukan saiznya yang penting tetapi nilai sejarahnya. Generasi terdahulu tetap mengingati yang bangunan itu pernah menjadi tempat tentera Jepun menyeksa penduduk tempatan yang tidak mengikut telunjuk mereka. Aktiviti yang julung-julung kali diadakan ini juga dipercayai dapat menaikkan kesedaran orang ramai tentang nikmat kemerdekaan. Pihak penganjur juga akan menghadiahkan pengunjung yang bertuah dengan pakej percutian. Dengan usaha yang demikian, Persatuan Sejarah dilihat lebih "mesra orang ramai" dan mendorong mereka untuk menjadi ahli.


BIL.

KESALAHAN

SEBAB KESALAHAN

PEMBETULAN

1.

2.

3.

4.

5.

6.

CERDAS MINDA 1

Bina ayat mudah dengan menggunakan kosa kata yang berikut:-
1. waham
2. kelesa
3. culas
4. naif
5. kali
6. ambal
7. lenjan
8. sigai
9. sarana
10. wisatawan

Rabu, 24 November 2010

BINA AYAT MUDAH 1

Karya sastera sarat dengan elemen gaya bahasa perbandingan.
Contohnya,
a) betapa manis hidup mereka = keadaan hidup yang bahagia
b) darah perwira = pengorbanan tentera
Kepelbagaian gaya bahasa sastera menjadikan karya sastera via Bahasa Melayu lebih menarik dan menggembirakan aura pembaca.

Arahan: Bina ayat mudah dengan menggunakan frasa sastera yang berikut:-
1. menunjangi hatinya
2. konflik hidupnya
3. menjerut kehidupan
4. belum kejap
5. melabuhkan punggung
6. terbongkang di atas tikar
7. terhiris hatinya

PERNYATAAN PENTING TENTANG BAHASAKU

Ada dua kesalahan bahasa dalam soalan Bahasa Melayu 1103/2 SPM November 2010 yang tidak disengajakan, iaitu:
1. Soalan 1: Rumusan
Arahan soalan sepatutnya 'Baca petikan di bawah dengan teliti, kemudian buat satu rumusan tentang kebaikan makan coklat dan cara-cara untuk memajukan industri coklat'.
(Kata sendi nama untuk disisipkan sebagai pelengkap unsur keterangan tujuan)

2. Soalan 3: Pengetahuan dan Kemahiran Bahasa
(e) Isi tempat kosong dengan peribahasa yang sesuai.
(Perenggan kedua) Sebagaimana yang diketahui, resipi kejayaan seseorang murid ialah permuafakatan antara guru dengan ibu bapa dalam melaksanakan pelbagai program untuk meningkatkan prestasi murid-murid dalam akademik.
(Bukannya: resepi)

KARANGAN MUSIM CUTI SEKOLAH AKHIR TAHUN 3

Tajuk: Belakangan ini, penyakit global seperti darah tinggi dan kencing manis sering menyerang penduduk dunia. Huraikan pendapat anda tentang cara-cara untuk mengekalkan kesihatan baik fizikal mahupun mental.

CARA-CARA PENGEKALAN KESIHATAN YANG BAIK
1. Menjalani pemeriksaan kesihatan yang berkala.
2. Beriadah atau bersukan setiap hari.
3. Mengamalkan pemakanan seimbang.
4. Tidur dan rehat yang cukup.
5. Bersikap tenang sepanjang masa.
6. Berfikiran positif.
7. Membaca al-Quran.

Panduan penulisan karangan cemerlang:
1. Mulakan perenggan pendahuluan yang mampu menarik minat pembaca atau pemeriksa.
2. Patuhi kerangka karangan, iaitu Pendahuluan, Isi-isi, dan Penutup.
3. Setiap perenggan isi mesti mempunyai Isi + Huraian + Contoh + Penegas + Peribahasa.
4. Penggunaan frasa atau ungkapan menarik mesti bertepatan dengan tema atau tajuk karangan.

AKRONIM

Akronim tergolong dalam kata nama tunggal. Kata nama akronim terhasil melalui percantuman bahagian-bahagian daripada serangkaian perkataan. Terdapat empat jenis akronim, iaitu:
1. Cantuman huruf awal perkataan
Contoh:
a) Lembaga Urusan dan Tabung Haji = LUTH
b) Institut Kefahaman Islam Malaysia = IKIM
c) Model Ekonomi Baharu = MEB

2. Cantuman huruf dan suku kata perkataan sebutan yang sesuai
Contoh:
a) Majlis Amanah Rakyat = Mara
b) Institut Tadbiran Awam Negara = Intan

3. Cantuman suku kata awal perkataan
Contoh:
a) Taman didikan kanak-kanak = Tadika
b) Taman bimbingan kanak-kanak = Tabika
c) Cerita pendek = Cerpen

4. Cantuman bahagian lain dalam perkataan yang berturutan
Contoh:
a) Jentera tolak = Jentolak
b) Pukul rata = Purata
c) Had laju = halaju

KARANGAN MUSIM CUTI SEKOLAH AKHIR TAHUN 2

Tajuk: Minda masyarakat Malaysia kini kian hari kian matang seiring dengan perkembangan pesat teknologi maklumat dan komunikasi. Huraikan gaya hidup masyarakat Malaysia pada era pra-e-komuniti dengan era e-komuniti.

MASYARAKAT ERA PRA-E-KOMUNIKASI
1. Penghantaran surat melalui perkhidmatan posmen.
2. Berbincang tentang sesuatu perkara di kedai kopi.
3. Murid mencari bahan rujukan di perpustakaan desa atau sekolah.
4. Penulis mengirimi bahan makalah kepada editor melalui surat.

MASYARAKAT ERA E-KOMUNITI
1. Perhubungan melalui mel elektronik.
2. Bual bicara melalui ruangan sembang siber.
3. Pengajian jarak jauh melalui sidang video.
4. Murid atau penuntut universiti merujuki Internet dalam sesi pemelajaran.

Panduan penulisan karangan cemerlang:
1. Gunakan bahasa Melayu nan santun dan gramatis.
2. Gunakan ungkapan menarik dalam setiap perenggan.
3. Aspek pemerengganan perlu dititikberatkan.
4. Penggunaan penanda wacana mesti tekal dan tepat.

KARANGAN MUSIM CUTI SEKOLAH AKHIR TAHUN 1

Tajuk: Bincangkan faktor-faktor yang mempengaruhi gaya hidup remaja kini.

REMAJA MALAYSIA PEWARIS KEPEMIMPINAN NEGARA

Faktor-faktor:-
1. Keluarga
2. Rakan sebaya
3. Pertubuhan
4. Sekolah
5. Masyarakat
6. Agama
7. Media massa - media cetak dan media elektronik

Panduan penulisan karangan cemerlang:
1. Peranan setiap faktor yang diberikan.
2. Sumbangan atau kepentingannya.
3. Nyatakan justifikasi atau bukti waima anda bersetuju atau tidak.
4. Berikan peribahasa atau ungkapan menarik tentang isu yang diutarakan.

PEMBENTUKAN KATA NAMA

1. Kata Nama Tunggal

Konotasi: Perkataan yang terdiri daripada satu morfem bebas dan dianggap perkataan yang membawa makna yang lengkap, termasuk akronim.
Contoh: gejala, sekolah, negara, tadika, kerusi, pensel

2. Kata Nama Terbitan
Konotasi: Perkataan yang terhasil daripada proses pengimbuhan waima awalan, akhiran, apitan, atau sisipan.
Contoh: a) imbuhan awalan - pel+ajar = pelajar; per+oleh = peroleh
b) imbuhan akhiran - hukum+an = hukuman; tari+an = tarian
c) apitan - per+buat+an = perbuatan; peN+pandu+an = pemanduan; meN+pamer+kan = mempamerkan
d) sisipan - tunjuk = telunjuk (sisipan - el-); suling = seruling (sisipan -er-); kuning = kemuning (sisipan -em-)

3. Kata Nama Majmuk
Konotasi: Perkataan yang terhasil daripada proses merangkaikan dua kata dasar atau lebih yang membawa makna tertentu
Contoh: ibu bapa; gejala sosial; pinggan mangkuk

4. Kata Nama Ganda
Konotasi: Perkataan yang terhasil melalui proses penggandaan untuk melahirkan makna tertentu.
Contoh: murid-murid; anak-anak

LATIHAN MUSIM CUTI SEKOLAH 1

Pantun Empat Kerat

Arahan: Lengkapkan pantun yang berikut dengan pembayang dan berikan tajuk pantun.

Tajuk: ___________________

1. ______________________,
______________________;
Rakyat Malaysia bersatu padu,
Muafakat dikendong saban masa.

2. ______________________,
______________________;
Hidup sentiasa bekerjasama,
Kerja nan berat menjadi mudah.

3. ______________________,
______________________;
Ceria dan gembira 1Malaysia,
Pelbagai kaum hidup harmoni.

4. ______________________,
______________________;
Budaya santun amalan terpuji,
Bahasa Melayu seyogia dipuja.

GOLONGAN KATA NAMA

Terdapat empat jenis kata nama dalam bahasa Melayu, iaitu:
1. Kata Nama Khas Hidup:
a) Kata nama khas manusia (contohnya, Nur Husna, Megat Danial, Tuan Hashim)
b) Kata nama khas bukan manusia (contohnya, Si Tompok, Sang Kancil, Hevea brasilia (pokok
getah)

2. Kata Nama Khas Tak Hidup
(contohnya, Kampung Telipot, Bangunan Wisma Belia, Seri Andalas)

3. Kata Nama Am Konkrit
a) Kata nama am tak hidup konkrit (contohnya, balai raya, kamar, hutan)

4. Kata Nama Am Abstrak
a) Kata nama am abstrak berbilang (contohnya, renungan, ingatan, pandangan)
b) Kata nama am abstrak tidak berbilang (contohnya, roh, hawa, kecantikan, keadilan,
ganjaran)

CERIA BAHASA 3

Frasa bestari:
1. kerjasama strategik
2. tenaga mahir
3. sekatan teknologi
4. kepakaran pemasaran
5. berdaya saing
6. pakej insentif
7. sektor awam
8. jurutera sistem
9. pusat pentadbiran
10. kerenah kehidupan
11. mengharungi pemodenan
12. memenuhi impian
13. institusi sosial
14. pembangunan nilai murni
15. pemula bicara

SOALAN PASCA-BAHASA MELAYU SPM NOVEMBER 2010

BAHASA MELAYU 1103/1

Bahagian B (100 markah)

Pilih satu daripada soalan di bawah dan tulis sebuah karangan yang panjangnya lebih daripada 350 patah perkataan.

1. Anda telah dilantik sebagai pengawas sekolah. Sebagai pengawas, bincangkan peranan anda untuk membantu pihak sekolah membentuk murid yang berdisiplin.

2. 'Seorang ibu dapat menjaga sepuluh orang anak tetapi sepuluh orang anak belum tentu dapat menjaga seorang ibu'.
Situasi seperti yang di atas seharusnya tidak berlaku dalam sesebuah masyarakat. Jelaskan tanggungjawab yang sepatutnya dilaksanakan oleh anak-anak terhadap ibu bapa.

3.
Negaraku
Tanah tumpahnya darahku
Rakyat hidup bersatu dan maju
Rahmat bahagia Tuhan kurniakan
Raja kita selamat bertakhta.

Lirik lagu Negaraku di atas antaranya menyentuh soal perpaduan, kesyukuran dan taat setia rakyat kepada raja dan negara. Huraikan peranan setiap rakyat Malaysia dalam menjamin kesejahteraan negara sebagaimana yang dihasratkan dalam lirik tersebut.

4. Penyakit berjangkit seperti selesema burung, influenza A (H1N1) dan meningitis atau radang otak telah menjadi isu global. Huraikan langkah-langkah yang perlu diambil oleh negara-negara di dunia untuk menangani wabak penyakit tersebut.

5. Peribahasa 'Di mana ada kemahuan, di situ ada jalan' membawa maksud bahawa jika ada azam dan usaha, pasti ada kejayaan. Tulis sebuah cerpen berdasarkan maksud peribahasa tersebut.