BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS

Jumaat, 14 Ogos 2009

Ranah Pemartabatan Tatabahasa BM via Maya

Ucapan terima kasih dizahirkan buat Cikgu Mohd. Isa bin Abd. Razak yang telah membaca dan menulis makalah saya semula untuk dikongsi dengan pembaca setia blog beliau. Yang berikut ialah paparan bahan makalah saya yang diambil daripada blog beliau.

"Dalam Bonus Dewan Siswa keluaran Julai 2008 terdapat makalah yang bertajuk “Analisis Kesalahan Ayat (Siri 1)”. Makalah itu ditulis oleh Cikgu Nik Nor Ahmarizam Nik Ahmad dan ditujukan kepada calon Peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR). Calon PMR dan pengguna bahasa Melayu masih dapat memanfaatkan kandungan makalah itu.
Dalam makalah itu, Cikgu Nik Nor Ahmarizam menyenaraikan 20 ayat yang salah. Setiap ayat yang salah itu diikuti dengan sebab kesalahan dan ayat yang betul. Empat contohnya adalah seperti yang di bawah. Saya mengemukakan ulasan ringkas bagi dua contoh.
Contoh 1
Ayat yang Salah
Gaya bahasa pantun sudah ditinjau dari pelbagai sudut oleh pengkaji kesusasteraan.
Sebab Kesalahan
Kesalahan penggunaan kata sendi nama dari.
Ayat yang Betul
Gaya bahasa pantun sudah ditinjau daripada pelbagai sudut oleh pengkaji kesusasteraan.
Ulasan
(a) Ini ialah ayat contoh dalam buku Tatabahasa Dewan Edisi Keempat (halaman 268):
Mereka memulakan kerja pembersihan dari sudut kanan dewan itu.
(bukan: Mereka memulakan kerja pembersihan *daripada sudut kanan dewan itu.)
Perbincangan tentang perkara ini ada di sini. Kita masih boleh membincangkan lagi perkara ini. (b) Ada pendapat mengatakan frasa dari pelbagai sudut kurang tepat. Frasa yang tepat ialah frasa dari sudut yang pelbagai.
Contoh 2
Ayat yang Salah
Hal ini kerana seseorang pemimpin mestilah dapat mengutarakan idea yang bernas untuk meyakinkan orang ramai.
Sebab Kesalahan
Ayat huraian ini tidak gramatis kerana tidak ada predikat.
Ayat yang Betul
Hal ini demikian kerana seseorang pemimpin mestilah dapat mengutarakan idea yang bernas untuk meyakinkan orang ramai.
Ulasan
(a) Kita wajar memikirkan sebab ayat ini dikatakan “salah”.
(b) Sudah ada pendapat yang mengatakan ungkapan “hal ini demikian kerana” silap.
Ungkapan yang dikatakan betul ialah “hal ini dikatakan (berlaku, terjadi) demikian kerana”
Klik di sini atau di sini. Namun beberapa pihak yang berwibawa masih menggunakan ungkapan ini. Klik di sini.
Contoh 3
Ayat yang Salah
Didoakan semoga anda berjaya dengan cemerlang.
Sebab KesalahanAyat ini tidak gramatis kerana tidak ada subjek dan predikat.
Ayat yang Betul
Didoakan kejayaan yang cemerlang untuk anda.
UlasanSila catatkan ulasan tuan dalam ruangan ulasan.
Contoh 4
Ayat yang Salah
Kakak Liyana membantu emak menanak nasi.
Sebab Kesalahan
Ayat ini tidak gramatis kerana tidak disisipkan kata hubung pancangan komplemen untuk sebagai unsur keterangannya.
Ayat yang Betul
Kakak Liyana membantu emak untuk menanak nasi.
Ulasan
Sila catatkan ulasan tuan dalam ruangan ulasan.
Senarai yang di bawah ini pula ialah sedutan daripada makalah itu.
Saya hanya menyedut frasa yang salah dan diikuti dengan frasa yang betul.
1. di atas sebab → atas sebab
2. koleksi kamus-kamus → koleksi kamus
3. mengingatkan kita terhadap kepentingan masa → mengingatkan kita tentang kepentingan masa
4. di dalam aktiviti → dalam aktiviti
5. membincangkan tentang → membincangkan
6. terlalu baik sekali → terlalu baik atau baik sekali
7. daun-daun kering berguguran → daun kering berguguran
8. ada pelajar-pelajar sekolah → ada pelajar sekolah
9. Hakimin dihadiahkan beberapa naskhah majalah → Hakimin dihadiahi beberapa naskhah majalah
10. Puan Hazama bertemu Puan Rajini → Puan Hazama bertemu dengan Puan Hazimi
Dipetik daripada :SAMBUNG-MENYAMBUNG ﺴﺎﺒڠ۔ﻤﭙﺎﻤﺒMohd Isa bin Abd Razak ... "Pancarkan Akhlak Mulia dalam Penulisan Kita"

0 ulasan: