BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS

Jumaat, 14 Ogos 2009

Kursus Orientasi Guru Cemerlang Zon Timur


Tanggal 9 hingga 13 Ogos 2009 (Ahad hingga Khamis), seramai 50 orang Guru Cemerlang [GC]dari negeri Kelantan, Terengganu, dan Pahang telah berkampung di Bukit Keluang Beach Resort, Besut, Terengganu untuk merealisasikan Kursus Orientasi Guru Cemerlang Zon Timur Siri 1/2009. Kursus ini merupakan anjuran Bahagian Pendidikan Guru dan Jemaah Nazir Jaminan Kualiti [JNJK]. Kursus ini dibahagikan kepada dua bahagian, iaitu 'indoor' dan 'outdoor' dengan dibantu oleh para fasilitator dari Institut Perguruan Guru Malaysia Tengku Ampuan Afzan, Kuala Lipis, Pahang. Para GC telah dibahagikan kepada enam kumpulan, iaitu setiap kumpulan mempunyai lapan orang ahli. Dalam aktiviti 'indoor', para peserta kursus diwajibkan mengikuti slot-slot ceramah seperti Peranan dan Tanggungjawab GC, Kepimpinan Instruksional, Personaliti Unggul, Pelan Taktikal dan Operasional, Pena GC, Citra GC, Cabaran GC, dan Resolusi. Antara aktiviti 'outdoor' pula termasuklah 'water confident', 'absailing', Eksplorasi Rimba, 'orienteering', dan Ekspedisi Samudera. Pengalaman yang amat berharga ini, sesungguhnya, menguji kesabaran, kekuatan fizikal dan mental, ketinggian sahsiah, dan iltizam GC selain memberikan nilai tambah dalam prakarsa murni GC untuk meningkatkan prestasi akademik murid waima di sekolah rendah atau menengah. Kursus ini telah berjaya mengeratkan hubungan antara GC Zon Timur demi mengangkat martabat pendidikan negara setanding negara maju lain di dunia ini. Para GC mempunyai tugas yang begitu besar untuk mengabsahkan keenam-enam teras PIPP negara sekali gus mengizharkan konsep 1 Malaysia.

0 ulasan: