BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS

Jumaat, 24 April 2009

Warga SMK Pintu Geng Cakna Bahasa Melayu

Pada hari Sabtu, 18 April 2009, guru-guru dan staf sokongan dari SMK Pintu Geng telah mengadakan Kursus Perkembangan Staf di Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Timur, Jalan Abdul Kadir Adabi, Kota Bharu, Kelantan. Kursus tersebut terbahagi kepada dua slot, iaitu Slot Bahasa dan Slot Pengurusan Fail. Dalam Slot Bahasa, Munsyi Dewan Bahasa dan Pustaka, iaitu Encik Nik Nor Ahmarizam bin Nik Ahmad telah diundang sebagai penceramah. Dalam slot tersebut, Munsyi Dewan telah membicarakan isu kesalahan bahasa yang amat dominan pada papan tanda awam yang menimbulkan perbagai kekeliruan kepada pengguna bahasa. Selain itu, Munsyi Dewan turut bersama-sama guru dan staf sokongan membetulkan kesalahan bahasa dengan berdasarkan edaran bahan bercetak yang mencakupi aspek morfologi, sintaksis, semantik, fonologi, dan dinamika bahasa. Program kebahasaan dan perkongsian ilmu sebegini amat baik dilakukan dari semasa ke semasa dalam usaha pihak Dewan Bahasa dan Pustaka untuk memperkasakan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi negara sebagaimana yang termaktub dalam Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan negara. Sebagai pencinta bahasa Melayu bahasa ibunda, marilah kita menyuguhkan tekad untuk merealisasikan slogan keramat "Bahasa Jiwa Bangsa" dan "Cintailah Bahasa Kebangsaan" kerana 'di mana bumi dipijak, di situlah langit dijunjung'.

Khamis, 23 April 2009

Pasukan Bahas Ala Parlimen SMKDAM Juara

Tahniah dan syabas dizahirkan buat Pasukan Bahas Ala Parlimen SMK Dato' Ahmad Maher (SMKDAM) yang telah menjadi Johan Pertandingan Bahas Ala Parlimen Peringkat PPD Kota Bharu 2009. Pasukan Bahas Ala Parlimen SMKDAM telah diwakili oleh Nurul Ainaa binti Mazlan (Tingkatan 4 Al-Zahrawi), Nur Amirah binti Zainuddin (Tingkatan 4 Ibnu Sina), Elli Liliana Aishah binti Mohd. Zahini (Tingkatan 4 Ibnu Sina), Wan Nur Alya Shaqeera binti Wan Azmi(Tingkatan 3 Al-Biruni ), dan Mohd. Bahrul Ridhuan bin Mohd. Baharudin (Tingkatan 3 Al-Razi). Pertandingan bahas ini telah dilangsungkan dengan jayanya di SMK Kampung Chengal, Ketereh, Kota Bharu, Kelantan pada 21 hingga 22 April 2009. Pada hari pertama pertandingan (21 April 2009), pada pusingan awal, pasukan bahas SMKDAM sebagai pihak pembangkang telah berjaya menewaskan pasukan bahas dari SMK Pintu Geng dengan usul "Ibu Bapa Pencorak Modal Insan Gemilang". Di peringkat suku akhir pula, pasukan bahas SMKDAM sebagai pihak kerajaan telah berjaya menewaskan pasukan bahas dari SMK Kota dengan usul "Peperiksaan Awam Pengukur Utama Kecemerlangan Pelajar". Pada hari kedua pertandingan (22 April 2009), iaitu pada peringkat separuh akhir, pasukan bahas SMKDAM sebagai pihak kerajaan yang sentiasa mempamerkan kesepaduan dan kebulatan fikiran untuk mematahkan hujah lawan berjaya mengalahkan pasukan bahas dari SMK Ismail Petra di peringkat separuh akhir dengan usul "Pelajar Terbilang Pelajarnya Memiliki Kemahiran Pelbagai Bahasa". Dan, pada peringkat akhir pertandingan, pasukan bahas SMKDAM sebagai pihak kerajaan telah menundukkan pasukan bahas dari SMK Agama Melor dengan usul "Media Melunturkan Amalan Berbudi Bahasa". Dalam majlis penyampaian hadiah, pasukan bahas SMKDAM sekali lagi memperoleh rezeki daripada Allah SWT pabila Nur Amirah binti Zainuddin telah diumumkan sebagai Pembahas Terbaik PPD Kota Bharu. Pasukan bahas ini telah mendapat tunjuk ajar dan bimbingan mantap daripada Encik Mohd. Nawi bin Abdullah (Guru Kanan Bahasa) dan Encik Nik Nor Ahmarizam bin Nik Ahmad (Guru Bahasa Melayu). Latihan intensif dari jam 3.30 hingga 5.00 petang setiap hari ternyata mendapat rahmat daripada Yang Maha Esa. Warga pendidik dan murid SMKDAM sentiasa mendoakan kejayaan yang berpanjangan buat Pasukan Bahas Ala Parlimen SMKDAM yang akan mewakili PPD Kota Bharu dalam Pertandingan Bahas Ala Parlimen peringkat negeri Kelantan yang akan diadakan di Tanah Merah, Kelantan. Insya-Allah.

Isnin, 20 April 2009

Majlis Guru Cemerlang Bersama Pengarah Pelajaran Negeri Kelantan

Tanggal 11 April 2009, Majlis Guru Cemerlang Kelantan (MGCK) dengan kerjasama Jabatan Pelajaran Negeri Kelantan telah menganjurkan "Majlis Guru Cemerlang Kelantan Bersama Pengarah Pelajaran Negeri Kelantan" di Dewan Tengku Mahmud, Maktab Sultan Ismail, Kota Bharu, Kelantan. Majlis yang berlangsung pada jam 2.oo petang itu telah mengundang Yang Amat Berusaha, Tuan Haji Mohd. Ghazali bin Ab. Rahman, Pengarah Pelajaran Kelantan sebagai tamu kehormat. Beliau telah menyampaikan ucaptama sekali gus melancarkan Program Modul Cakna Akademik Kelantan 2009. Modul-modul akademik yang dihasilkan MGCK mencakupi mata pelajaran Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Sains, dan Matematik (UPSR); Bahasa Inggeris, Sains, dan Matematik (PMR); Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Sejarah, Matematik, Sains, Matematik Tambahan, Biologi, Kimia, dan Fizik (SPM). Beliau berasa yakin dan percaya bahawa MGCK akan terus mengorak langkah sederap bersama JPN Kelantan untuk merealisasikan hasrat PIPP (2006-2010) negara sekali gus mengizharkan tema "Guru Cemerlang Menjulang Cakna Pendidikan Kelantan Tersohor". Beliau turut menzahirkan lapan perkara yang perlu menjadi amalan setiap guru, iaitu:
1. memulakan dan mengakhiri kerja dengan bacaan doa;
2. membaca dan memahami keenam-enam teras dalam PIPP;
3. mematuhi undang-undang dan peraturan-peraturan sebagai pendidik;
4. mendahului masa;
5. menyegerakan tugas yang diberikan;
6. mengutamakan pelanggan (murid);
7. memberikan kerjasama secara kolektif;
8. mempunyai visi dan misi, strategik, dan wawasan.

Selain itu, beliau juga mengharapkan warga pendidik agar sentiasa mengamalkan prinsip 4B, iaitu:
1. Bersyukur kepada Ilahi;
2. Berfikiran positif;
3. Berkomunikasi secara berkesan;
4. Berdoa kepada Ilahi.

Setiap guru seyogianya melakukan anjakan paradigma dalam menghadapi arus pendidikan yang kian rencam kini. Sikap negatif guru yang seronok bekerja dalam zon selesa perlu diubah dan kita perlu berganjak daripada kepompong lama kepada kepompong baharu. Sikap mencemburui dan mendendami rakan sekerja juga perlu diketepikan dalam menjaga imej dan keterampilan golongan pendidik yang kian dipandang sinis oleh massa.

Khamis, 16 April 2009

Terima Kasih Puan Wan Normah

Saya ingin menzahirkan ucapan terima kasih yang setinggi-tingginya kepada Yang Berusaha, Puan Wan Normah binti Wan Mustapha, Guru Besar Sekolah Kebangsaan Islah, Kota Bharu, Kelantan yang telah memberi saya kesempatan untuk mengajar anak-anak prasekolah di sekolah beliau. Saya berasa sungguh seronok kerana diberi peluang untuk mengajar anak-anak prasekolah mengeja dan membaca beberapa patah perkataan mudah. Mereka, saya anggap bagai anak sendiri walaupun masa yang diperuntukkan untuk mengajar mereka sebentar sahaja. Teringat saya akan pengalaman semasa belajar di alam tadika dahulu tapi kata orang, lain dulu lain sekarang. Hakikatnya, tahap pemerolehan bahasa seseorang kanak-kanak di kelas prasekolah berbeza antara satu sama lain. Mereka begitu seronok belajar di kelas ini kerana mereka berpeluang untuk mempelajari perbagai perkara. Guru-guru prasekolah pula amat baik, cantik, dan mesra dengan anak-anak prasekolah yang sememangnya mempunyai cita-cita murni untuk belajar hingga pandai sekali gus menjadi modal insan yang cemerlang dalam semua aspek.

Seminar Antarabangsa Bahasa Melayu dalam Komunikasi Era Globalisasi


Pada 1 hingga 3 Disember 2008, Encik Mohd. Nawi bin Abdullah (Guru Kanan Bahasa), Encik Nik Nor Ahmarizam bin Nik Ahmad (Munsyi Dewan), Muhamad Safwan bin Sarifbudin (Tingkatan 4 Al-Biruni), dan Aiman bin Hasnizul (Tingkatan 4 Ibnu Sina) telah mewakili SMK Dato’ Ahmad Maher ke Seminar Antarabangsa Bahasa Melayu dalam Komunikasi Era Globalisasi. Program kebahasaan antarabangsa ini merupakan anjuran Universiti Malaysia Terengganu (UMT) dan Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Timur dengan kerjasama Persatuan Pendidik Bahasa Melayu Malaysia. Program keilmuan ini telah dilangsungkan dengan jayanya di Perpustakaan Negeri Terengganu lantaran kampus UMT dibanjiri bah besar ketika itu. Seminar ini mendapat sambutan yang menggalakkan para pencinta bahasa Melayu dari dalam dan luar negara seperti negara Thailand, Singapura, Indonesia, Jerman, dan Brunei Darussalam. Semua peserta menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa komunikasi antara satu sama lain dan ini bertepatan dengan tema “Melestarikan Keunggulan Bahasa Melayu dalam Komunikasi Era Globalisasi”. Program sebegini amat signifikan dalam usaha kita mengizharkan bahasa Melayu sebagai bahasa antarabangsa sekali gus memperkasakan bahasa Melayu agar kita dapat duduk sama rendah dan berdiri sama tinggi dengan bangsa maju di seantero dunia.
Dalam majlis perasmian seminar tersebut, YB Datuk Seri Utama Dr. Rais Yatim, Menteri Luar Negeri (era Perdana Menteri ke-5) dalam ucaptamanya telah menegur sikap segelintir masyarakat Malaysia yang begitu bangga tatkala mengungkapkan bahasa rojak, iaitu bahasa sekerat ular sekerat belut dalam urusan seharian. Penggunaan bahasa rojak dalam ranah formal atau tidak formal tidak boleh dibiarkan sewenang-wenangnya. Hal ini demikian kerana bahasa rojak begitu jelas merosakkan keunikan dan kegramatisan bahasa Melayu sebagai bahasa besar dan bahasa peradaban yang pernah menjadi bahasa lingua franca bagi rantau kepulauan Melayu di bawah kerajaan Sriwijaya sejak abad ke-7 Masihi. Kita seyogianya berasa bangga kerana pada zaman kesultanan Melayu dari sekitar abad ke-13 hingga abad ke-19, bahasa Melayu mencapai puncak kegemilangan sebagai bahasa tamadun Melayu, dengan menjadi bahasa pentadbiran, bahasa diplomasi, bahasa undang-undang, bahasa ilmu dan falsafah, bahasa perdagangan, bahasa ketatanegaraan dan bahasa sastera tinggi.
Menurut Profesor Madya Dr. Arndt Graf, bahasa Melayu yang merupakan bahasa rasmi negara Malaysia begitu indah dan menarik untuk dipelajari sekali gus mampu dilonjakkan sebagai bahasa antarabangsa. Beliau yang berasal dari negara Jerman, begitu fasih berbahasa Melayu dengan khalayak bahasa. Beliau turut membentangkan kertas kerjanya, iaitu “Pengantarabangsaan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Ilmiah”. Dalam hal ini, kita sebagai pengguna bahasa Melayu, bahasa ibunda yang dipelajari sejak lahir seyogianya tidak perlu mempertikaikan atau melecehkan keagungan bahasa Melayu kerana sudah terang lagi bersuluh perkara ini termaktub dalam Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan negara. Perjuangan pemartabatan bahasa Melayu tidak pernah terhenti bahkan pihak Dewan Bahasa dan Pustaka senantiasa melaksanakan pelbagai program kebahasaan untuk mengembangkan bahasa Melayu ke peringkat antarabangsa.

Pelihatan?

Kamus Dewan edisi keempat melalui entri 'lihat', pengguna bahasa Melayu dapat menemukan kata 'pelihatan'. Ada pengguna bahasa Melayu yang berasa waswas tentang kepersisan kata ini. Sebenarnya, sebagai pengguna bahasa Melayu nan matang, kita sewajarnya melihat perkara ini daripada ranah akademik bukannya emosi. Sebagai contohnya, perhatikan ayat-ayat di bawah:
1. Pelihatan adik makin hari makin baik semenjak menerima rawatan daripada pakar mata Hospital USM Kubang Kerian.
2. Kakak menghadiahi nenek cermin mata lantaran pelihatan nenek kian kabur.

Justeru?

Banyak pengguna bahasa Melayu yang sering kali menggunakan kata hubung 'justeru' sebagai penanda wacana atau sebagai kata penegas. Mengapakah hal ini berlaku sedemikian? Menurut Kamus Dewan edisi keempat, kata 'justeru' merujuki maksud bahkan atau kebetulan. Sebagai contohnya,
1. Kenapa justeru sekarang ini kamu harus meninggalkan kami?
2. Saya tidak membenci anak kecil itu bahkan saya mengambilnya sebagai anak angkat.

Ada juga pengguna bahasa Melayu yang menggunakan kata 'justeru itu' pada permulaan perenggan penulisan karangan. Penggunaan kata 'justeru itu' yang begitu meluas ini amat menyalahi hukum tatabahasa bahasa Melayu. Hal ini berlaku kerana ada pelajar yang terpengaruh oleh penggunaan kata 'justeru' atau 'justeru itu' pada permulaan perenggan melalui penulisan dalam akhbar atau majalah. Untuk makluman pelajar PMR dan SPM, di peringkat peperiksaan STPM, penggunaan kata 'justeru' oleh calon STPM pada permulaan perenggan adalah salah. Oleh hal yang demikian, semua pelajar seyogianya memahami fungsi kata 'justeru' dengan sebaik-baiknya.

Khamis, 9 April 2009

Cemerlang Karangan BM STPM

Pelajar STPM yang menulis karangan dalam subjek Bahasa Melayu 910/2 tidak dibenarkan menggunakan penanda wacana setiap perenggan kerana mereka dikatakan tidak mengetahui cara menggunakan penanda wacana dengan persis. Dalam hal ini, pelajar dikehendaki memulakan perenggan baharu dengan ayat gramatis yang mencakupi subjek dan predikat. Penggunaan ayat songsang atau pasif juga tidak digalakkan. Penanda wacana juga tidak dibenarkan dalam penulisan rumusan dan alih bentuk teks. Pelajar yang ingin berjaya dinasihati mematuhi peraturan penulisan karangan, rumusan, dan alih bentuk teks. Sebagai calon prauniversiti, para pelajar STPM seyogianya rajin membaca bahan-bahan bacaan ilmiah seperti majalah terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka, akhbar tempatan selain melayari Internet untuk mendapatkan bahan pembelajaran yang terkini. Usaha yang berterusan, sesungguhnya akan membuahkan hasil yang membanggakan.

Citra Bahasa Melayu

Artikel 152 Perlembagaan Persekutuan menyatakan bahawa bahasa Melayu ialah bahasa rasmi negara Malaysia. Dalam hal ini, masyarakat Malaysia seyogianya menggunakan dan menuturkan bahasa Melayu dengan betul setiap masa. Penggunaan bahasa Melayu yang tidak gramatis dari aspek hukum tatabahasa akan merendahkan dan memperlekeh keunikan bahasa Melayu.

MEREKAYASA BAHASA MELAYU

Akhir-akhir ini, penggunaan bahasa Melayu nan persis dalam kalangan khalayak baik guru, pensyarah, murid, ahli korporat, atau orang-perseorangan sering menjadi bahan perdebatan waima di kafe siber, blog, kedai kopi, pejabat atau sekolah. Mengapakah hal ini berlaku? Sebenarnya, jawapan tentang isu ini ada pada diri individu yang menggunakan bahasa Melayu sejak kecil atau dengan kata lain mereka menggunakan bahasa ibunda ini sejak belajar di sekolah tadika lagi. Bagi sesetengah murid atau calon UPSR, PMR, SPM, atau STPM, mereka mempelajari subjek Bahasa Melayu hanyalah untuk lulus peperiksaan. Apabila mereka selesai menduduki peperiksaan awam, buku atau nota subjek Bahasa Melayu tidak dibaca atau ditatap lagi. Alangkah sedihnya apabila buku Bahasa Melayu dipinggirkan sedemikian rupa. Wajarkah sikap sebegini kita biarkan tanpa penyelesaian tuntas? Isu PPSMI, umpamanya, tidak pernah sunyi diperkatakan khalayak sejak tahun 2003 lagi kerana begitu jelas dianggap telah mengetepikan maruah bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi negara sebagaimana yang termaktub dalam Artikel 152 Perlembagaan Persekutuan. Rakyat Thailand, Jepun, Rusia, Perancis, Korea Selatan, dan China begitu mengagumi bahasa ibunda masing-masing. Bagaimana dengan masyarakat Malaysia?